‘Dahulu penerima zakat, sekarang bayar RM2 juta zakat perniagaan’

USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi muncul sebagai pembayar zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor menerusi syarikatnya, D’herbs Holdings Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2 juta.

Aliff hadir bersama isterinya, Datin Seri Shahida serta anak sulungnya, Ammar Ahyan bagi sesi penyerahan replika cek kepada Lembaga Zakat Selangor dalam acara yang berlangsung di Wisma PKPS, Shah Alam hari ini.

Ketika ditemui pihak media, Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, menzahirkan rasa syukur dan terkejut kerana sekali lagi menjadi pembayar zakat perniagaan tertinggi bagi negeri Selangor.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya tak tahu nilai keseluruhan yang dikeluarkan oleh syarikat saya untuk tahun ini kerana isteri saya yang uruskan akaun syarikat.

Sebagai seorang yang pernah menerima bantuan zakat satu ketika dahulu saya rasa bersyukur kerana kini saya pula menjadi antara pembayar zakat tertinggi di Selangor.

“Saya ni sekolah tak pandai. SPM pun gagal. Bila menjadi antara pembayar zakat tertinggi bersama individu hebat dan syarikat besar yang lain, sudah tentu saya rasa bangga,” katanya kepada HibGlam.

Katanya lagi, dia sudah membayar zakat sejak berusia 19 tahun lagi walaupun ketika itu jumlah yang dibayar hanya RM7.

Ketika itu gaji saya RM650 sahaja. Tetap saya tetap mahu membayar zakat pendapatan. Jadi setiap bulan saya akan bayar RM7. Mungkin RM7 itu kecil tetapi sangat besar bagi yang memerlukan.

“Alhamdulillah setiap tahun jumlah itu meningkat sehinggalah sekarang saya mampu membayar RM2 juta,” jelasnya.

Sementara itu Shahida berkata, 2025 menjadi tahun tertinggi dalam sejarah buat syarikat mereka mengeluarkan zakat perniagaan.

“Alhamdulillah tahun ini paling tinggi setakat ini. Semua ini adalah berkat menjual jeruk mangga, beg dan macam-macam lagi produk kami.

Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang menyokong kami. Anda juga adalah sebahagian daripada penyumbang zakat ini,” ujarnya.

Selain Dherbs Holdings Sdn Bhd, 55 lagi syarikat lain turut tersenarai antara pembayar zakat perniagaan tertinggi termasuklah Open University Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Wawa Global Sdn. Bhd. – HIBGLAM