‘Bukan gila, saya tekankan depan hakim emosi dia tak stabil’

Uqasha, 33, berkata, jika kesihatan mentalnya dalam keadaan tidak stabil sudah pasti dia tidak boleh menjaga anak tunggal mereka, Hawra Uqaira.

“Anda nilaikan sendiri apa yang dia cakap. Saya sabar selama ini tetapi dia fitnah dan cakap benda bukan-bukan mengenai saya. Kalau saya tak waras, saya tak jaga anak saya seorang diri,” katanya selepas keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Sementara itu, Kamal yang turut hadir ke mahkamah sama bagi prosiding ke empat kes permohonan cerai difailkan Uqasha pula menafikan memanggil isterinya dengan panggilan mental.

Katanya, perkara disebutkan di hadapan hakim adalah berkenaan emosi isterinya yang tidak stabil sewaktu memfailkan perceraian pada 1 Oktober lalu.

“Saya rasa siapa yang tengok sesi (siaran) langsung dia faham lah dia macam mana. Saya tak cakap isteri saya gila, tidak.

“Saya katakan kepada hakim, mungkin emosi dia tidak stabil. Saya tekankan itu di depan hakim. Itu saja saya cakap,” ujarnya.

Hari ini Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, mendedahkan berdepan keganasan rumah tangga sehingga mendorongnya memfailkan perceraian terhadap aktor berkenaan.

Dakwanya, penderaan itu berlarutan dalam tempoh empat tahun perkahwinan mereka termasuk ketika hamil sehingga dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira, 19 bulan.

Terdahulu, keputusan JKP antara kedua-dua keluarga tidak mencapai kata sepakat apabila Kamal masih ingin mempertahankan rumah tangga mereka.

Susulan itu, Hakim Syariah melantik hakam iaitu perunding tara bagi sebutan seterusnya yang dijadualkan pada 12 Januari 2026. – HIBGLAM