Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, dia mengambil masa kira-kira sebulan lebih untuk menghasilkan 500 cenderahati berupa rantai kekunci.
“Semua ini hasil tangan saya, memang buat sendiri. Hampir sebulan lebih juga saya ambil masa untuk siapkan, khas tanda kasih sayang kepada semua tetamu. Tidaklah seberapa,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya lagi, walaupun mengalami sakit badan sepanjang proses menyiapkan cenderahati tersebut, dia berasa puas hati apabila melihat tetamu tersenyum menerima hasil tangannya.
“Memang penat. Sakit-sakit pinggang masa buatnya, tapi niat saya ketika itu cuma satu, nak membahagiakan dan menggembirakan semua orang dengan hasil tangan saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Erra turut mengakui terharu dengan pelbagai kejutan disediakan suaminya, Ezwan Zain sepanjang majlis berlangsung.
“Saya pun tak sangka ada kejutan koir dan macam-macam lagi. Ia satu kejutan yang sangat manis daripada suami. Saya nampak segala usaha dia nak menterjemahkan cintanya,” katanya.
Tambah Erra, pemilihan lagu-lagu nyanyian rakan artis yang membuat persembahan juga merupakan idea Ezwab dan menjadi satu lagi kejutan istimewa buat dirinya.
Pada majlis resepsi tersebut, Erra dan suaminya, Ezwan sepakat memilih tema klasik sempena hari bahagia mereka.
Kedua-dua mempelai tampil segak menggayakan busana tradisional rona perak rekaan Lumiere Concept.
Bagi meraikan hampir 1,000 tetamu yang hadir, Erra dan suami turut mengundang beberapa rakan artis untuk membuat persembahan antaranya Siti Nordiana, Naqiu, Hafiz Hamidun dan Iskandar Ismail.
Terdahulu, pada pagi Jumaat, Erra dan Ezwan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di lokasi sama.
Majlis perkahwinan pasangan ini turut mendapat julukan ‘wedding of the year’. – HIBGLAM
