‘Beego tak pergi majlis pengebumian ibu saudaranya, saya ada bukti’

Demikian kata pelakon Linda Hashim yang kecewa dengan tindakan Beego tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini sehingga prosiding kes perceraian dan pengesahan lafaz taklik mereka terpaksa ditangguh ke tarikh baharu.

Menurut Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim, 41, Beego hanya menjadikan kematian ahli keluarganya yang meninggal dunia semalam sebagai alasan untuk tidak hadir ke mahkamah dan mendakwa mengetahui di mana keberadaan suaminya itu.

Dia hanya menggunakan alasan ada kematian. Tapi tak mengapa sebab Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

“Saya serahkan sepenuhnya pada Allah, biar Dia sahaja yang atur semua perjalanan saya yang mungkin ada pengakhiran baik, insya-Allah,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding kes perceraian dan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Dia turut mendakwa Beego sengaja melengah-lengahkan kes perceraian mereka kerana lebih fokus terhadap jumlah nafkah anak-anak, iddah dan mutaah yang akan difailkan olehnya.

“Saya baru dimaklumkan oleh peguam defendan kenapa dia tak nak lepaskan saya sebab nak tengok dulu saya fail nafkah dan segala yang berkaitan dengan hal duit.

Sekiranya dia bersetuju, dia akan cerai. Sekiranya tak bersetuju, mungkin dia akan gantung lagi saya atau akan memanjangkan kes perceraian kami ini.

“Saya rasa dia risaukan perkara itu (tuntutan nafkah) dan akan menggunakan kuasa veto sebagai seorang suami untuk gantung selagi dia tak tengok berapa jumlah dituntut,” jelasnya.

Tambahnya, dia hanya mahu menyelesaikan kes perceraian mereka dengan segera dan tidak terlalu memikirkan mengenai isu tuntutan nafkah buat masa ini.

“Sekarang, saya tak fokus pun tentang nafkah, hanya fikir nak bercerai sahaja.

Sebab itu dia kadang-kadang sekejap nak cerai kemudian tak nak pula.

“Sebelum ini dia beritahu bersetuju nak bercerai tiba-tiba hari ini defendan tak datang pula,” ujarnya lagi.

Hari ini, mahkamah seterusnya menetapkan tarikh baharu kes perceraian dan pengesahan lafaz taklik Linda dan Beego pada 21 Januari tahun depan.

Sejak Januari lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Terdahulu, Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun. – HIBGLAM