‘Bangga mengaku baling dulang, membuli tak rasa malu ke?’

Ujar Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, 40, budaya membuli dalam industri penerbangan bukan sesuatu yang wajar dijadikan kebanggaan, apatah lagi dicanang secara terbuka.

“Maaf cakap eh, awak semua yang terpaling rasa senior dan bangga mengaku baling dulang. Mengaku buli tak rasa malu ke, mak cik?

“Dalam hidup ini, manusia berbeza-beza. Tak boleh nak anggap semua orang sama.

“Kalau awak dulu kena baling dengan dulang, kenapa nak bawa budaya tu ke depan? Sangat menjijikkan la, makcik. Maaf cakap la ya,” katanya dalam Threads.

Menentang sekeras-kerasnya perbuatan tersebut, pelantun lagu Ahmad itu menyifatkan golongan sebegitu hanya berani ketika berada dalam uniform.

“Orang macam ini waktu kerja rasa diri raja, membuli tak ingat dunia. Luar waktu kerja, pengecut.

“Dia yang membuli bawak 1001 aura negatif lepas tu cakap kita lemah, tapi bila kita berdiri tegak menolak buli kita pula dikata biadab,” tegasnya.

Teguran lantang itu tercetus selepas tular video daripada audio siar Borak Dalam Galley kendalian penyanyi Zarul Umbrella, memaparkan pengacara Maria Tunku Sabri sebagai tetamu jemputan.

Dalam episod tersebut, Maria menceritakan pengalamannya sebagai ketua pramugari tegas sehingga menimbulkan pelbagai interpretasi.

Klip itu mengundang reaksi meluas, malah ramai netizen menuduh Maria mempromosikan budaya membuli dalam kalangan anak kapal.

“Patutnya senior jadi pelindung, bukan penakut yang tunjuk garang depan junior,” komen seorang pengguna media sosial.

“Sudahlah membuli, bangga pula mencanang satu dunia kelakuan dia. Bagus Arrora tegur. Benda macam ni dinormalisasikan sangat sampai orang tak sedar itu salah,” ujar seorang netizen.

Insiden tersebut sekali lagi membuka perbincangan mengenai budaya kerja toksik dalam industri penerbangan dan keperluan menghentikan amalan memalukan junior atas alasan ‘tradisi’. – HIBGLAM.