Menurut Allan, pada ketika itu, wang simpanannya hanya berbaki 40 sen sahaja di dalam akaun dan terpaksa mengikat perut dalam tempoh 14 hari.
“Saya jarang bercerita tentang kesukaran hidup dalam Instagram kerana bukan jenis yang suka menjaja cerita sedih.
“Namun, saya ingat waktu terbitkan lagu Rindu, duit saya dalam bank ketika itu selepas bayar kos buat lagu hanya tinggal 1,600 rupiah, bersamaan 40 sen sahaja.
“Selama dua minggu saya hanya makan mi segera sehingga diserang gastrik.
“Waktu itu hanya saya yang tahu betapa susahnya keadaan yang terpaksa dihadapi,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama Setiaku Berdiri di sini, semalam.
Meski melalui fasa hidup yang sukar, dia tetap cekal bagi mengejar impiannya sebagai penyanyi.
“Ketika fasa tiada duit, lagu Rindu pun susah sangat nak diterima ramai. Bayangkan sebulan hanya 10,000 kali distrim dalam platform media sosial.
“Saya dapat tawaran kerja di Surabaya dan bila dapat wang deposit saja, saya terus pergi makan daging stik,” katanya lagi.
Allan berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerjaya seninya bertambah baik terutama selepas lagu Rindu mula tular dalam media sosial sekitar tahun 2024.
“Sampai sahaja di Bali, saya dapat banyak notifikasi orang guna lagu itu dan tiba-tiba saja lagu tersebut viral.
“Saya tak sangka lagu tersebut turut viral di Indonesia dan syukur rezeki saya makin baik,” ujarnya. – HIBGLA
