‘Tak perlu banding, haluan muzik De Fam, Dolla berbeza’

Menurut Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, orang ramai juga tidak sepatutnya menyamakan De Fam dengan Dolla terutama isu berkaitan pemakaian kerana mempunyai haluan yang berbeza.

“Saya rasa sebelum ini De Fam sendiri ada kod pemakaian sebab Cik Manggis memang tak selesa berpakaian ketat atau mencolok mata.
“Kami dari dulu nak jaga pemakaian kita, kalau orang tanya macam mana De Fam boleh orang lain tak boleh, saya rasa tidak boleh jadi isu

“Masing-masing lain caranya. Mereka (Dolla) punya identiti dan genre pun lain nak dibandingkan dengan De Fam. Tanya berkaitan itu (isu pemakaian) sangat sensitif untuk saya bicarakan.

“Bagi saya, orang tegur kita kena akur dan patuh sebab teguran itu untuk kerjaya bertahan lama,” katanya kepada Kosmo! Online pada pelancaran koleksi sukan Cakenis, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu mengakui De Fam sering menjadi sasaran kecaman pada awal penglibatan dalam industri.

“Tak boleh cakap sebab semua lalui haluan berbeza. Dulu De Fam bermula pun orang cakap kami boleh menari saja.

“Banyak tomahan lalui, kami ambil sebagai positif. Cuba perbaiki diri sendiri.

“Itu saya cakap kadang-kadang teguran itu mungkin terbaik untuk kita. Buktikan kita boleh buat lebih baik,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu pemakaian yang kini melanda Dolla, Azira berkata, dirinya sentiasa berhati-hati dalam memilih pakaian meskipun perkara itu merupakan hak peribadi.

“Sudah semestinya saya selalu berhati-hati (dalam pemakaian). Tapi bagi saya masing-masing ada citarasa dan identiti sendiri.

“Masing-masing ada hal sendiri. Saya selalu tak nak terlalu dedahkan diri secara berlebihan.

“Bagi pihak orang lain saya tak boleh komen sebab tiada kena mengena dengan saya. De Fam selalu berpakaian sama sebab dari dulu kami begitu. Macam itu kami bawa diri sendiri,” ujarnya.

Dia turut menegaskan bahawa kecaman terhadap Dolla wajar dijadikan iktibar kepada semua selebriti namun tetap mendoakan kumpulan tersebut kuat dalam berdepan sebarang ujian sebagai anak seni.

“Sudah semestinya semua terlibat bukan sahaja Dolla mahupun De Fam.

“Bagi saya benda isu etika pemakaian. Kami sebagai Muslim tahu apa boleh pakai atau tak.

“Macam saya cakap kita kena ambil teguran dan cuba perbaiki,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, nama Dolla meledak selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel dalam video muzik (MV) terbaharu mereka, Question.

Teguran itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang kini sedang menilai keperluan tindakan syariah terhadap selebriti Islam berpakaian mencolok mata.

Beliau turut mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Islam dalam sektor hiburan.

Universal Music Malaysia, selaku label, dalam kenyataan sebelum ini mengakui memahami keresahan masyarakat serta sentiasa mengambil kira sensitiviti penonton. – HIBGLAM