‘Perang dingin? Ada yang cuba laga-lagakan kami’

Tiada angin tiada ribut, pengamal perubatan dan pengasas produk EnerVast iaitu Dr. Afif dikatakan kini ‘perang dingin’ dengan duta produk tersebut, penyampai radio Gegar, Fizie Roslan.

Ada sumber mengatakan perselisihan faham menyebabkan Fizie dan Afif kini tidak lagi membuat sesi live bersama dalam media sosial seperti mana di awal pelancaran produk tersebut Julai lalu.

Katanya, tiada persefahaman antara mereka ini juga menyebabkan berlakunya kerugian.

“Tak dinafikan, saya akui kami tidak lagi membuat sesi live bersama, malah sudah lama tak berjumpa. Namun, itu tak bermakna kami bergaduh.

“Kalau ada yang fikir kami bermasalah, tak ada masalah langsung sebenarnya, kami baik-baik saja walaupun sudah jarang berhubung.

“Iyalah, baik saya atau Dr. Afif, kami sibuk dengan komitmen masing-masing. Saya on-air pagi, Dr. Afif pula sibuk dengan pengurusan klinik2 dan R&D produk lain,” ujar Fizie.

Menurutnya lagi, tidak adil jika ada yang mendakwa naik turun sesuatu produk itu bergantung kepada selebriti yang dilantik menjadi duta semata-mata.

“Artis bukan penentu tunggal naik turun sesuatu produk. Artis yang dilantik sebagai duta cuma salah satu elemen dalam strategi pemasaran.

“Kolaborasi yang berjaya perlu dimainkan oleh kedua-dua pihak. Artis bawa kesedaran tentang produk yang dibawa manakala pemilik jenama pula kena jaga kualiti dan strategi jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Afif atau nama sebenarnya Afif Mohd. Ridzwan juga menafikan dakwaan kononnya perniagaannya rugi ratusan ribu apabila melantik Fizie sebagai duta produk.

“Memang sebelum ini kita pernah dengar kes artis dan pengasas produk ‘perang dingin’ atau bermasam muka apabila tidak mencapai kata sepakat dan perjanjian tidak dipenuhi.

“Dalam hal saya dengan Fizie, memang kami jarang berhubung atau mempromosi produk bersama. Namun itu tak membawa maksud kami bergaduh.

“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya kononnya berhabis ratusan ribu lantik Fizie sebagai duta EnerVast. Fitnah itu tak masuk akal langsung kerana kami bekerjasama dengan baik sepanjang masa.

“Walaupun tiada lagi sesi live bersama, tetapi Fizie amat memberi komitmen dengan menyusun pelbagai strategi yang orang luar tak tahu.

“Hubungan kami baik-baik saja. Mungkin ada yang cuba laga-lagakan kami.. Entah apa niat mereka,” katanya.

Dakwaan mengatakan Fizie dan Dr Afif kini tidak sehaluan dapat ditepis apabila mereka bakal mengusahakan cawangan Restoran Bumbu Babah di Kota Bharu, Kelantan.

Bumbu Babah yang mempertaruhkan hidangan autentik Minang ini diasaskan oleh pelawak Ajak Shiro.

Menurut Fizie, Bumbu Babah bermula dengan jualan ayam goreng sebelum beralih kepada sajian nasi padang yang kini menjadi teras jenama itu.

“Saya memang peminat masakan Padang dari dulu lagi. Saya suka yang berempah, pedas, pekat semua tu.

“Ceritanya bermula bila sahabat saya, Ajak Shiro, ajak saya cuba nasi padang di Bumbu Babah. Sekali rasa gulai urat keting dia, terus terpikat!

“ Dari situ saya nampak potensi besar jenama ni, bukan sekadar sedap tapi ada ‘jiwa’ masakan sebenar. Jadi bila saya berkongsi dengan Dr. Afif, dia pun terus nampak peluang dan kami sepakat untuk sama-sama kuatkan jenama ni.

“Pendek kata, dari meja makan terus jadi projek bersama,” tambahnya lagi. – HIBGLAM