Shila atau nama lengkapnya, Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, itu juga pengalaman pertamanya menguruskan sebuah majlis perkahwinan dan syukur suaminya, Ubai sentiasa berada di sisi membantunya.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar semalam.
“Pertama kali menjadi ‘mak pengantin’, lucu pula rasa bila salam kaut diberikan kepada saya (tapi sudah pasti masuk dalam beg mak).
“Syukur semuanya sempat dan paling lucu sebab mereka berdua tidak pernah pergi kursus kahwin. Ada yang cakap perlu hadir, terus mereka pening,” katanya dalam Threads.
Melihat ramai turut mendoakan, dia berharap agar ibunya sentiasa bahagia dan perkahwinan yang dibina kali ini berakhir bahagia.
Apa pun terima kasih buat mereka yang mendoakan baik-baik.
“Kebahagiaan itu milik semua, insya-Allah cepat atau lambat sahaja. Perjalanan kita tak akan pernah sama tetapi semua mahu ke pengakhiran yang serupa juga.
“Terima kasih suami, Ubai kerana mengiringi perjalanan ini,” katanya lagi.
Semalam, Fauziah menamatkan zaman janda selepas selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihannya, Zainal dalam sebuah majlis sederhana.
Fauziah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi era 80-an, Datuk ND Lala.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Shahila atau Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Pada 2 Ogos 2023, ND Lala melafazkan cerai di sebuah masjid sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Fauziah menerusi aplikasi WhatsApp.
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan kemudian mengesahkan lafaz itu sebagai sah pada 5 September 2023. – HIBGLAM
