Syafiq dan Syazwan mencipta sejarah kali kedua di FFM yang menyaksikan dua pemenang dalam satu kategori sama.
Sebelum ini kejadian sama pernah berlaku di FFM ke-6 dimana Arshad Mahuri dan Pyan Habib pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Tau Feh Sofiah.
Syafiq dan Syazwan dilihat sempat bergurau di atas pentas apabila masing-masing mahu memberi laluan menyampaikan ucapan kemenangan.
Sewaktu ditemui di sidang media, Syafiq menyifatkan kemenangan bersamanya dengan Syazwan sebagai simbolik kepada watak mereka dalam filem Blood Brothers.
“Sejujurnya agak terkejut, tak sangka sama-sama menang. Mungkin kerana tajuk filem kami adalah Blood Brothers. Kemenangan ini lebih manis kerana saya menang bersama Syazwan yang merupakan gandingan saya dalam filem Blood Brothers.
“Persaingan untuk kategori ini sangat sengit. Ada tiga lagi aktor hebat iaitu Syukri Yahya, Aedy Ashraf dan senior kami yang sangat hebat iaitu Eman Manan. Mereka semua layak untuk menang,” katanya.
Sama seperti Syafiq, Syazwan juga kaget apabila namanya diumumkan sebagai pemenang kerana tidak pernah meletakkan harapan untuk memenangi sebarang anugerah.
“Saya tak pernah bekerja untuk menang anugerah. Saya terlibat dalam sesuatu projek dan berikan yang terbaik dengan harapan akan dapat lebih banyak tawaran lakonan.
“Dalam kegembiraan saya menang pada malam ini (semalam), terselit rasa sedih dalam hati kerana ibu saya sudah tiada. Dia tak dapat tengok saya menang. Dia meninggal dunia pada Februari lalu. Saya dedikasikan anugerah ini untuk arwah ibu,” jelasnya.
Bagi kategori wanita pula, Ellie Suriaty berjaya membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan hebatnya dalam filem Telaga Suriram.
FFM34 menyaksikan filem Babah dinobat sebagai Filem Terbaik. Manakala pengarahnya, Mohd Shah Faizul pula menerima anugerah Pengarah Harapan.
Babah juga menggondol empat lagi anugerah utama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan cemerlang Qi Razali, Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. – HIBGLAM
