Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, tiada halangan buat puteri tunggalnya itu untuk menceburi sebarang bidang termasuk hiburan asalkan berminat serta melakukan persediaan rapi.
“Memang ada beberapa wakil jenama bertanyakan tentang Aleesya jika dia berminat menjadi duta atau sebagai wajah produk, tetapi saya tengok dia belum bersedia lagi.
“Aleesya masih malu-malu. Mungkin bukan sekarang, kena buat persediaan dulu. Jika dia minat ceburi hiburan pun saya lebih galakkan jadi pengacara. Cuma, sekarang ini macam ada berlian dalam mulut dia, ‘introvert’.
“Malah jika dia minat menyanyi saya akan hantar ke kelas vokal,” katanya selepas pelancaran buku kanak-kanak pertama Little Nina and The Adventure of Fatimah Az Zahra, nukilan Engku Aleesya Engku Emran di sini, hari ini.
Menurut Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu, buat masa ini Aleesya lebih cenderung terhadap penulisan sehingga terhasilnya buku kanak-kanak yang disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan.
“Penulisan memang minatnya. Saya tiada halangan untuk Aleesya menjadi penulis tetapi lebih galakkan dia jadikan bidang ini sebagai pendapatan sampingan.
“Kalau boleh saya mahu dia belajar lagi dan terokai bidang lain. Jika mahu jadi veterinar, pakar psikologi atau terbabit dalam bidang hiburan sekali pun, penulisan sebagai sampingan,” ujarnya.
Selain itu, Erra juga meluahkan rasa bangga dengan bakat dimiliki anaknya itu yang mendapat kepercayaan untuk tampil dengan sebuah buku sulung pada usia muda.
“Saya bukan mahu memuji anak, cuma saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis. Saya beri buku, bapanya bagi galakan.
“Sebagai seorang yang pemalu, Aleesya curahkan segala perasaan dalam penulisan, macam saya dulu sebelum adanya gajet kerana saya suka menulis dan membaca.
“Bahkan karangan saya dahulu sering menjadi contoh kepada rakan sekelas,” katanya.
Sementara itu, bapa Aleesya, Engku Emran berkata, dia juga memberi galakkan kepada anaknya itu untuk menulis buku dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami kanak-kanak.
“Waktu dia menulis buku ini, dia baru berusia 14 tahun dan ketika itu tidak sesuai lagi dia untuk dia menulis kisah cinta remaja. Saya mahu dia menulis buku yang mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak.
“Saya tak mahu letak sasaran tinggi, cukup untuk menulis buku yang mudah difahami walaupun dia sendiri membaca buku untuk pembaca dewasa,” kongsinya.
Cetakan pertama buku di bawah terbitan Tertib Publishing sebanyak 1,000 naskhah itu kini telah terjual sebanyak 50 peratus. – HIBGLAM
