‘Jika kena sihir jangan kongsi, biar sembuh dalam diam’

Fedtri, 44, berkata, perkongsian tentang perkembangan kesihatan diri berpotensi mengundang kembali ‘serangan’ daripada pelaku.

“Kalau terkena sihir, jangan sesekali kongsi perkembangan diri sama ada sudah baik, sembuh atau belum dalam media sosial.

Pelaku sihir sentiasa memantau. Jika dapat tahu kita sudah pulih, mereka mungkin akan menyerang semula dengan kekuatan berganda untuk melemahkan sasarannya.

“Sebab itu, lebih baik tak kongsi dan sembuh dalam diam,” katanya menerusi temu bual dalam program podcast Sembang Seram baru-baru ini.

Fedtri turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan tipu daya daripada ayat dituturmangsa sihir yang selalunya berniat mahu membuatkan individu lain saling berdendam dan hubungan berpecah-belah.

Perubatan Islam yang sebenar tidak akan mendedahkan siapa pelakunya kerana syaitan mahu menimbulkan permusuhan antara manusia.

“Bila tahu siapa yang kononnya melakukan sihir, manusia akan mula berdendam dan akhirnya berpecah-belah.

Kadang-kadang orang yang dirasuk akan menyebut nama sesiapa sahaja, sedangkan tidak betul pun. Matlamat utama rawatan Islam adalah untuk menyembuhkan, bukan untuk mencari siapa pelaku.

“Ada yang sanggup bermusuh hanya kerana disebut namanya, padahal itu tipu daya syaitan,” katanya.

Berkongsi pengalaman, dia juga pernah melihat individu yang dirasuk mampu bertutur dalam pelbagai bahasa sekali gus mahu mengelirukan orang lain untuk mencari pelakunya.

Saya pernah lihat orang dirasuk boleh menyebut pelbagai bahasa termasuk Korea dan Inggeris tetapi apabila diminta melafazkan dua kalimah syahadah, mereka tak boleh.

“Itu menunjukkan betapa liciknya permainan syaitan sebab matlamatnya adalah mahu melihat manusia bergaduh,” katanya lagi. – HIBGLAM