‘Jangan perlekeh rezeki, kecil bagi kita banyak untuk orang lain’

Menurut Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 37, tidak kira jumlah yang ditawarkan besar atau kecil, masih ada individu yang memerlukan.

“Rezeki yang sedikit untuk kita itu mungkin banyak untuk orang lain. Kalau rasa tak berbaloi, jangan ambil. Tak perlu nak suarakan ketidakpuasan hati dalam media sosial secara terang-terangan.

Kadang-kadang kita perlu fikir kalau kita rasa jumlah yang ditawarkan itu sikit untuk kita, ada orang yang sara keluarga dengan jumlah tersebut.

“Saya rasa kita tak patut perlekehkan rezeki yang kita dapat,” katanya ketika ditemui di sidang media drama BF Green Flag, semalam.

Ditanya adakah dia sendiri sanggup menerima tawaran yang rendah untuk sesuatu persembahan, kata bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu dia akan terima tetapi mengikut kesesuaian.

Kalau bersesuaian dan waktu saya lapang, saya terima sahaja. Mungkin kadang-kadang pihak yang ingin mengundang kita kurang berkemampuan.

“Jadi saya buat sahaja demi membantu. Mungkin sekarang saya dapat jumlah yang sedikit, tetapi di masa hadapan saya dapat jumlah yang lebih pula,” jelasnya.

Terdahulu tular seorang penyanyi menyuarakan ketidakpuasan hati apabila ditawarkan RM1,400 untuk menyanyikan dua lagu.

Penyanyi tersebut turut mempersoalkan apa yang boleh dimakannya dengan jumlah bayaran itu.

Tambah penyanyi itu lagi, dia boleh meraih pendapatan lebih dengan hanya duduk dalam pejabat.

Disebabkan itu juga dia tidak lagi berminat meneruskan karier nyanyian dan memilih menumpukan perhatian pada perniagaan. – HIBGLAM