Sharifah Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, berkata, persepsi negatif kembali muncul berikutan tindakannya bersuara mengenai bayaran tertunggak membabitkan sebuah jenama automotif tempatan bernilai RM18,000.
“Mungkin orang rasa sebab saya pernah viral dulu, jadi mereka fikir saya individu problematik (bermasalah) tapi sebenarnya, saya cuma menuntut hak sebagai pekerja.
Saya bekerja, saya yang tak dibayar, jadi saya perlu ke depan, namun orang pula salahkan saya. Itu sangat tak adil,” katanya ketika ditemui selepas majlis gala filem Malam Terlarang, baru-baru ini.
Enggan kisah silam zaman awal menjejak kaki ke gelanggang seni diungkit, kekhilafan sehingga kejuaraannya dalam sebuah pertandingan bakat ditarik balik merupakan titik tolak untuknya membersihkan nama dan meraih kepercayaan ramai.
Saya kalau boleh nak imej bersih. Sekarang pun saya memang cuba untuk jaga imej, tapi apabila jadi perkara begini, orang terus cakap saya banyak masalah.
“Saya pun manusia biasa. Saya cuma nak teruskan hidup dan bekerja dengan jujur. Janganlah ambil kesempatan, saya pun ada keluarga untuk disara,” ujarnya.
Lima belas tahun dalam industri, tahun ini, Haneesya lebih bersemangat apabila penglibatan pertamanya dalam naskhah layar perak, Malam Terlarang menemui penonton.
HANEESYA berbesar hati akhirnya dapat beraksi dalam naskhah layar perak selepas lebih sedekad dalam industri hiburan.
Film seram arahan Nurhanisham Muhammad tersebut sudah pun memasuki pawagam bermula 30 Oktober lalu.
Sebaris bintang handalan
Akui anak jati Pulau Pinang itu, selain debarannya bukan sahaja disebabkan berkongsi layar dengan pelakon-pelakon hebat termasuk Zul Ariffin, Sofea Jane, Sasha Abedul, Normah Damanhuri dan Hasnul Rahmat, kisah seram tersebut memberi cabaran tersendiri dari watak buatnya.
“Saya membawakan watak entiti yang perlu disolek menakutkan selain muncul bergentayangan yang tentu sahaja perlukan ketahanan mental dan fizikal.
Saya tak boleh cerita banyak kerana bimbang ‘spoiler’, cuma boleh dikatakan saya buat sendiri semua babak lasak tanpa ada pelakon lagak ngeri.
“Secara tidak langsung bagi kepuasan. Kiranya semua persediaan berbaloi bahkan saya bertuah dapat beraksi dengan ramai bintang handalan dalam naskhah pertama layar perak ini,” katanya.
Malam Terlarang secara asas mengisahkan seorang gadis berusia 18 yang tahun terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya yang sakit iaitu Sarimah lakonan Sofea Jane.
Namun, kematian mengejut dalam keluarga membawa kepada gangguan makhluk misteri yang menuntut kebenaran di sebalik tragedi gelap tersebut.
Malam Terlarang yang merupakan kerjasama antara Astro Shaw serta Infinitus Productions ditayangkan di pawagam bermula 30 Oktober lalu. – HIBGLAM
