‘Henti kecam dia, letak semua kesalahan kepada saya’

Sedar apa yang berlaku, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berharap orang ramai berhenti mencetuskan sebarang spekulasi agar dapat memberi tumpuan kepada anak-anak dan juga komitmen dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).

“Saya rasa biarlah saya letak semua kesalahan dekat saya. Benda ini bukan mudah untuk saya fokus, macam-macam hal terjadi.

“Saya minta semua hormat dia dan saya pun akan terus hormat dia sebagai ibu kepada anak-anak saya. Sekiranya orang melihat apa berlaku dalam media sosial, tolonglah, tak perlu cakap bukan-bukan (kecam) terhadap dia.

“Patut dihentikan, saya nak fokus anak-anak, GV dan tanggungjawab saya. Bagilah saya ruang serta peluang untuk teruskan tanggungjawab dalam GV,” katanya kepada Kosmo! Online.

Malah, pelantun lagu Ada Untukmu itu berharap dapat menyelesaikan konflik rumah tangga secara baik dan keadaan kembali reda.

“Saya rasa cukup-cukuplah sebab apa pun yang keluar ini antara saya dan dia. Apa yang orang tahu cuma sedikit, selebihnya biarlah saya simpan.

“Memang cara baik (selesai konflik) tapi apa pun sekarang ini situasi semakin rancak. Ada yang mengutuk, cakap bukan-bukan.

“Minta maaf, saya tak nak cakap isu rumah tangga sebab tak bawa apa-apa kebaikan. Cukup sampai situ saja,” katanya lagi.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Nubhan dan Afifah semakin rumit apabila banyak spekulasi liar tersebar dalam Threads.

Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – HIBGLAM