‘Fikir panjang kalau filem seram, saya lemah semangat’

Lakonannya sarat dengan rasa, membuatkan air mata penonton gugur tanpa sedar.

Tidak berlebihan jika ibu kepada seorang cahaya mata itu dilabel sebagai pelakon papan kelas atas selepas lebih sedekad bergiat dalam dunia seni.

Begitu pun, di sebalik deretan watak romantik dan dramatik yang pernah dibawanya, pemilik nama lengkap Nur Amirah Filzah Badioezaman mendedahkan belum pernah menerima tawaran menjayakan naskhah seram.

Mira secara peribadi mengakui dirinya bukanlah individu berani apabila melibatkan perkara mistik.

“Kalau ada (tawaran) filem seram selepas kena fikir panjang sebab saya lemah semangat.

Saya tak pernah berlakon cerita hantu. Pernah ada tawaran tapi saya tolak sebab tak bersedia.

“Kalau bersesuaian dari segi skrip, insya-Allah (terima),” katanya kepada HibGlam ketika penggambaran filem terbaharunya, Akad Yang Hilang.

MIRA bakal meruntun hati penonton menerusi filem terbaharunya berjudul Akad Yang Hilang.

Mengulas tentang projek terbabit, pelakon berusia 32 tahun itu memegang watak Maryam yang menjadi nadi keseluruhan jalan cerita.

Watak Maryam membawa cerita ini dari awal sampai habis. Dari segi persiapan, sangat cepat walaupun ini naskhah untuk layar lebar.

“Segala persiapan termasuk bacaan skrip kita buat dalam satu minggu sahaja. Memang laju.

“Konsep saya tawakal sahaja, alhamdulillah dengan bantuan pelakon lain dalam set semua okey,” ujarnya.

Tidak berselindung, Mira mengakui antara sebab utama dia bersetuju membintangi filem itu adalah kerana diterbitkan Astro Shaw.

Sejujurnya saya terima naskhah ini apabila dimaklumkan terbitan Astro Shaw. Saya memang sudah lama menyimpan hajat mahu bekerja dengan mereka.

“Tidak kisahlah projek kecil atau besar, saya percaya masing-masing ada masa dan peluang, sebab itu saya bersetuju,” jelasnya lagi.

SHERIE Merlis, Idan Aedan banyak membantu Mira menghidupkan watak Maryam yang menjadi nadi utama naskhah Akad Yang Hilang. – AFIQ RAZALI

Bintang drama Pujaan Hati Kanda itu turut berkongsi jadual penggambaran filem tersebut berjalan dengan sangat efisien dan tersusun di bawah kendalian sutradara Bahri Uma Bajuri.

“Cabarannya nak kata terburu-buru tidak juga. Walaupun persediaannya sangat cepat, kita ada masa yang mencukupi.

Penggambaran pun lancar, jadi laju. Tak adalah setiap hari habis lewat.

“Kadang-kadang ‘one take’, pengarah terus cakap ‘shoot’ seterusnya. Rasa macam tak percaya tapi saya yakin dengan kemampuan Bahri.

“Sebagai pelakon, saya akui ada ‘overthinking’ terutamanya apabila pertama kali bekerja dengan Astro Shaw. Namun, saya tak nak rosakkannya dan meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Bahri,” tutupnya.

Akad Yang Hilang mengisarkan sebuah kisah cinta yang diuji oleh hukum dan mengangkat isu perkahwinan fasid, satu topik terpencil yang jarang dibincangkan.

Selain Mira, filem ini turut dibintangi Sherie Merlis, Idan Aedan, Syarul Ezani dan Aleza Shadan. – HIBGLAM