‘Era baharu saya’ – Elyana kembali jalani kimoterapi

Menurut Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 38, prosedur yang perlu dilaluinya semula itu disifatkan sebagai satu fasa yang baharu.

Kemoterapi. Era baru saya,” tulisnya pada kapsyen video yang dikongsikan dalam Instagram.

Menerusi klip tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu kelihatan berada di katil hospital menjalani prosedur kemoterapi.

Elyana tampak ceria apabila menyanyi mengikut rentak lagu sambil sesekali kamera fokus kepada bahagian tangan yang dilekat jarum dan tiub cecair ubat.

Menerusi ruangan komen, ramai meniupkan kata-kata semangat selain menganggapnya sebagai pejuang kanser berhati waja.

“Terus kuat ye adik. Moga satu hari nanti adik sembuh dapat sepenuhnya,” kata seorang pengikut.

Elyana pejuang kanser yang kuat. Semoga Elyana sentiasa sihat dan dikembalikan semula kesihatan seperti dulu,” tulis netizen.

Sebelum itu, dia turut berkongsi beberapa hantaran lain dalam Instagram Story mengenai keadaan kesihatannya serta perubahan rutin harian.

“Pukul 3 (pagi) bangun, pukul 4 bangun, pukul 5 bangun, tak boleh nak tidur, sakit badan macam angin.

Sekarang kita baru masukkan ‘control lock’ ubat angin kat dalam ni dan kembung sangat, perut keras, badan tak selesa nak tidur macam kena picit belakang sebelah kiri.

“Saya pun dah sapu minyak angin,” katanya menerusi siri perkongsian dibuat.

Terdahulu, sekitar dua tahun lalu dia mengumumkan berita gembira disahkan bebas daripada kanser limfoma yang dihidapinya selama 11 tahun.

Sebelum itu dia hanya mendedahkan dirinya penghidap kanser limfoma tahap empat ketika menyertai program Gegar Vaganza (GV) pada 2017.

Elyana berkahwin dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan anak perempuan iaitu Cinta Sumayyah, selain seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia enam tahun. – HIBGLAM