Dicemuh jongang, Bella Astillah pasang pendakap gigi

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 34, berkata, buat masa ini dia hanya menunggu proses seterusnya sebelum pemasangan dilakukan.

“Saya akan buat braces, tahu tak saya dah jumpa doktor. Doktor pun dah hantar simulator,” katanya dalam hantaran video di TikTok.

Perkara itu dikongsikan ketika siaran langsung di konti radio Era FM bersama rakan penyampai, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin.

Pada masa sama, ibu kepada dua anak itu menyatakan tidak tersinggung dengan komen segelintir netizen yang mengusik keadaan giginya.

“Tak baik tau cakap saya jongang. Saya okey saja sebenarnya, semua manusia pun tak sempurna,” ujarnya.

Begitupun, akui Bella keputusan mengenakan pendakap gigi bukan disebabkan kecantikan, sebaliknya lebih kepada masalah kesihatan mulut yang dihadapi.

“Saya tiada niat nak ubah ciptaan Tuhan. Sebenarnya sebab saya selalu kena ulser dan punca utama adalah daripada gigi saya sendiri,” jelasnya.

Menerusi ruangan komen di akaun seorang pengguna TikTok, rata-rata memuji penampilan wanita terbabit yang didakwa tiada cela.

“Mana ada jongang, ‘shaming’ tak ubah apa pun. Bella tetap cantik,” tulis seorang netizen

“Sedap je cakap Bella jongang. Nabil, Azad, Radin, marah mereka cepat,” kata pengikut lain.

Sebelum ini penampilannya kerap meraih pujian malah tiada netizen menyedari sebarang kekurangan pada wanita jelita ini terutama membabitkan giginya- HIBGLAM