‘Dia ganggu saya dalam Instagram, TikTok sahaja’

Bagaimanapun, Hisyam atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, memilih untuk tidak mengambil serius hal tersebut dan menganggap individu berkenaan hanya sekadar peminat tegar yang terlalu mengagumi kerjayanya dalam bidang seni.

Ya saya tahu mengenai itu. Tentulah saya perasan kalau dah berpuluh kali dia tag saya di media sosial. Ingatkan akaunnya sudah tiada, tapi rupanya masih aktif.

“Apapun, saya anggap dia hanya seorang peminat yang menyokong kerjaya saya, itu saja. Tak lebih daripada itu,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon filem Memori itu, meskipun terdapat segelintir netizen menyarankan agar dirinya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit, dia berpendapat perkara itu tidak perlu diperbesar-besarkan.

“Ramai yang minta saya ambil tindakan, tapi selagi tidak langgar undang-undang atau etika, saya rasa tiada masalah.

Setakat ini dia hanya aktif dalam media sosial seperti Instagram dan TikTok saja, tak pernah ganggu saya di luar,” ujarnya pada sidang media drama viu Saat Aku Tahu, di sini, semalam.

Difahamkan, wanita berkenaan aktif menyunting foto bapa dua anak itu bersama dirinya dan memuat naik dalam media sosial dengan kapsyen romantik seolah-olah menggambarkan mereka sebagai pasangan kekasih.

“Kadang ada perkongsian agak sensitif dan boleh menimbulkan salah faham, tapi saya tak mahu cepat menghukum.

Saya anggap dia peminat biasa yang mungkin terlalu mengagumi watak atau personaliti saya di televisyen. Selagi tidak keterlaluan terhadap saya atau keluarga, saya okey saja.

“Kalau orang minat, kita tak boleh halang. Asalkan tidak melampaui batas atau ganggu kehidupan peribadi, saya tak rasa itu masalah besar,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hisyam membintangi drama psikologi romantik, Saat Aku Tahu yang mengupas tentang kepercayaan, kekecewaan dan dendam dalam hubungan.

Bakal menemui penonton pada 6 November ini, siri 15 episod tersebut akan ditayangkan di platform Viu pada setiap hari Khamis dan Jumaat.

Selain Hisyam, naskhah terbabit juga membariskan pelakon-pelakon hebat lain antaranya, Ummi Nazira, Anna Jobling, Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha. – HIBGLAM