Demi Uda dan Dara, Johan As’ari sebulan berlatih vokal

Johan atau nama lengkapnya, Johan Ariff As’ari, 38, berkata mengakui agak gemuruh ketika kemunculan awal, dia sanggup menyahut cabaran untuk menyanyi dalam pementasan itu selepas lebih sedekad menunggu peluang keemasan tersebut.

“Ikutkan inilah teater muzikal pertama kerana sebelum ini sudah beberapa kali saya terbabit dalam pementasan besar dengan kali terakhir 11 tahun lalu, cuma kali ini gemuruh sedikit.

“Maklumlah pertama kali berdendang sepanjang dua jam. Jadi terselit sedikit perasaan gementar tetapi Alhamdulillah saya dapat lunaskan amanah produksi menghidupkan watak Uda.

“Ketika diajukan Istana Budaya untuk menggalas peranan utama dalam karya ikonik ini, sudah tentu saya teruja sekali gus terus menyahut cabaran,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Menurut bintang filem Juvana itu, bagi memastikannya dapat memenuhi kehendak skrip, dia mengikuti latihan intensif terutama persediaan vokal tanpa culas.

“Sebenarnya saya sanggup menolak semua tawaran kerja lain sejak sebulan lepas demi memberi tumpuan terhadap latihan harian teater ini.

“Setiap hari saya hadiri kelas termasuk pagi, petang, malam, tanpa ponteng walau satu sesi pun. Ini semua pengorbanan bagi memberikan hasil terbaik,” ujarnya.

Selain Johan, pementasan arahan Nik Muhammad Faiszulikhwan dan Dr Marlenny Deenerwan itu turut membariskan Zera Hariz sebagai Dara selain Farah Ahmad, Jay Iswazir, Amerul Affendi, Azman Hassan dan Sara Sulaiman.

Sejumlah 14 lagu baharu dicipta khas pemuzik Istana Budaya berbakat besar dengan mengadaptasi bahasa puitis sepenuhnya daripada karya legenda Sasterawan Negara itu termasuk berjudul Dara, Senja, Menanti, Mengemping serta Berbalas Senda.

Teater Muzikal Uda dan Dara dipentaskan di The Playhouse Theatre@ The Campus Ampang sejak dua hari lalu dan dijadualkan berakhir hari ini. – HIBGLAM