Cinta berkecai ditertawakan, Zarina Anjoulie ‘backup’ Ameera Khan

Zarina, 36, atau selesa disapa Anju mengakui kecewa dan hairan dengan sikap kurang empati sesetengah individu yang lebih suka melihat kejatuhan orang lain dengan gemar mentertawakan andai perkara buruk berlaku.

“Anda mungkin tahu saya peminat Ameera. Bagaimanapun, saya tidak pasti, tetapi ada ura-ura mengatakan dia berpisah dengan teman lelakinya. Jadi semua orang mula bercakap ‘Oh, padan muka!’ dan ketawa, seolah-olah memang tunggu masa gelakkan orang.

“Janganlah berlagak seperti kamu semua tak pernah rasa sedih bila berpisah. Kamu semua pun pernah bercakap tentang lelaki, bukan?

“Itulah masalah dengan segelintir netizen Malaysia, suka berdoa atau bergembira atas kesedihan orang lain. Sebab apa? Sebab tiada kerja lebih baik nak dibuat,” katanya dalam hantaran video di Instagram.

Menerusi perkongsian sama, pelakon drama Curang Tanpa Niat turut mengingatkan netizen supaya tidak bercakap buruk mengenai Ameera serta Jefri.

“Tolonglah, jangan kacau ‘baby’ saya. Saya suka dia, dia sangat comel. Kalau betul ada hati yang baik, doakan saja yang baik-baik untuk mereka,” ujarnya.

Sejak minggu lalu timbul desas-desus perpisahan pasangan terbabit selepas mereka memadam foto bersama di Instagram sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat yang mengikut percintaan dua figura muda itu.

Lebih mencuri perhatian, apabila masing-masing juga dilihat sudah saling menyahikut antara satu sama lain di platform media sosial itu.

Hubungan Ameera dan Jefri mula dihidu sekitar akhir 2023, apabila kedua-duanya kerap muncul bersama di beberapa acara fesyen berprestij dalam dan luar negara.

Sementara itu, Zarina juga berstatus ibu tunggal anak dua turut menegur tindakan kurang manis golongan isteri yang meninggalkan komen keterlaluan terhadap lelaki lain di media sosial.

“Saya tengok ramai perempuan komen ‘eh, dia lelaki idaman’, ‘kalaulah saya dapat awak’, tapi dalam gambar profil ada foto kahwin dengan suami masing-masing. Tak malu ke?”, katanya.

Meninjau ruangan komen, ramai sependapat dengan Zarina, malah berharap individu bersikap sedemikian menjauhi laman sosial.

“Bab ini saya setuju. Jangan sibuk nak doakan benda tak elok kepada orang lain. Kalau tak suka pergi jauh-jauh,” tulis netizen. – HIBGLAM