Demikian kata anggota kumpulan Dolla iaitu Sabronzo berkongsi tentang kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga termasuk bagaimana dia membimbing suaminya yang baru memeluk Islam.
Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 30, berkata, dia mahu menjalani kehidupan dengan baik dan penuh ketenangan bersama suami, Ryan Fieret atau Dash Berlin tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini, Alhamdulillah semuanya okay, berjalan dengan lancar.
Perkara ini merupakan satu isu peribadi dan saya juga tak nak memberikan tekanan kepada sesiapa. Agama lama dia juga mengajar tentang keamanan dan ketenangan.
“Apa yang penting adalah cara saya mengajar suami tentang Islam. Selagi mana kehidupan kami dipenuhi dengan kebaikan dan cinta, insya-Allah semuanya akan okay,” katanya kepada kepada HibGlam pada majlis pelancaran single baharu Dolla berjudul Question hari ini.
Dalam pada itu, Sabronzo turut berkongsi kehidupan selepas bergelar isteri.
Kata Sabronzo, tidak banyak perubahan yang berlaku sebaliknya bersyukur kerana kehidupannya kini semakin tenang dan bahagia di samping suami tercinta.
“Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin saya baik-baik sahaja. Saya gembira kerana telah menjumpai lelaki yang terbaik.
Nak kata ada perbezaan banyak sangat selepas berkahwin, tidak juga kerana kami masing-masing memberikan fokus terhadap kerjaya kami.
“Cuma bezanya sekarang bila saya balik, saya ada teman untuk berbual. Alhamdulillah, saya bahagia,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sabronzo menafikan perkahwinan menjejaskan kerjaya seninya bersama kumpulan Dolla.
“Saya tak rasa perkahwinan ini menjejaskan kerjaya malah membuatkan saya berasa lebih bersemangat.
Saya sentiasa fokus dan akan sentiasa memberikan komitmen untuk mencapai segala sasaran bersama Dolla.
“Suami saya juga memberi motivasi untuk menjadi lebih baik memandangkan kami berada dalam bidang yang sama,” katanya.
Pada 29 September lalu, Sabronzo memuat naik gambar majlis perkahwinannya bersama Ryan sekali gus mengesahkan khabar angin dia sudah berumah tangga.
Difahamkan majlis resepsi itu berlangsung di Bali, Indonesia pada 25 September lalu.
Sabronzo dan Ryan bernikah dua minggu sebelum mereka diraikan dalam majlis berkenaan.
Kemeriahan acara di Bali itu turut dikongsi beberapa rakan selebriti lain termasuk anggota Dolla sendiri.
Hubungan Sabronzo dengan Ryan mula dihidu peminat sekitar Mei lalu selepas dilihat saling berbalas komen di media sosial.
Mereka dikatakan mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara sekitar awal 2024.
Ryan merupakan DJ asal Belanda yang juga salah seorang anggota kumpulan Dash Berlin. – HIBGLAM
