Anak buka tudung, ‘nak suruh saya tampar atau halau?’

Nora, 51,  atau nama lengkapnya Wan Norafizah Ariffin berkata, sebagai ibu dia juga sentiasa di sisi mereka dalam mengharungi sebarang dugaan mahupun isu membabitkan hal peribadi.

“Nak suruh saya tampar atau halau dia daripada rumah ke? Macam mana buruk sekalipun anak kita, dia tetap anak dan darah daging kita.

“Orang luar pulau, mengata, mengutuk, mengeji dan mencaci maki dia. Kalau kita buat benda yang sama, dia nak pergi mana?”

“Apabila jadi benda-benda macam ini (kontroversi), saya peluk anak sebab nak mereka tahu biar apa saja terjadi, saya bersama mereka,” katanya menerusi program audio siar Our Next Guest Podcast kendalian pempengaruh Singapura, Dyn Norahim.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, setiap ibu bapa juga mempunyai kekhilafan, sekali gus secara peribadi dia juga perlu bermuhasabah diri.

“Ketika peluk anak-anak, saya akan minta maaf. Minta maaf kalau-kalau saya ini terlepas pandang atau tak cukup pandai menjadi ibu bapa.

“Kadang-kadang kita rasa yang kita dah didik (sempurna) tapi mungkin ada perkara kita sebenarnya sudah terlepas pandang.

“Kadang-kadang kita ingat kita betul sebab ‘parents’ kan. Tapi kita pun perlu minta maaf,” ujarnya.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu tidak ketinggalan menitipkan pesanan buat ibu bapa lain agar membuat pertimbangan waras, jangan sampai anak merasakan mereka tiada tempat untuk mengadu.

“Nauzubillah tapi kita nak ke kalau anak kita ambil keputusan yang bukan-bukan seperti menamatkan riwayat hidup mereka sebab tiada tempat bergantung?

“Jangan terpengaruh sangat dengan kata-kata orang luar sebab pada penghujungnya mereka adalah anak kita,” katanya.

Terdahulu, kontroversi tercetus apabila anak bongsunya juga penyanyi, Dahlia hadir tanpa bertudung ketika Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), sekali gus mengundang cemuhan. – KOSMO! ONLINE