‘Amalan baik buat kita lebih tenang, hidup lebih ringan’

Sendirian namun tidak keseorangan, Afgan atau Afgansyah Reza, 35, berkata, amalan harian yang semakin sebati dalam hidupnya itu mampu menyuntik ketenangan jiwa sekali gus menjadi terapi buat dirinya terutama saat berdepan detik sukar.

“Tasbih digital ini saya mula pakai ketika menunaikan haji pertengahan tahun ini. Sepanjang di Mekah saya tidak pernah tanggalkan tasbih digital ini.

“Apabila pulang ke tanah air saya jadi terbiasa dan sampailah sekarang saya masih suka pakai. Alat ini sangat membantu.

“Apa pun amalan baik ini membuatkan kita lebih tenang,” katanya selepas di sidang media Retrospektif Showcase di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Penyanyi popular Indonesia itu berkunjung ke negara ini bagi memenuhi jadual promosi persembahan solo mega di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Disember ini.

Terdahulu, ketika tampil di konti sebuah stesen radio, ramai peminat memberikan respons terhadap video dikongsi di laman rasmi radio terbabit yang menampakkan tasbih digital di jari Afgan.

Ramai memuji perubahan penghibur popular itu selepas bergelar haji, sekali gus menunjukkan contoh positif kepada peminat.

Berkongsi lagi perubahan dilalui selepas melaksanakan rukun Islam kelima itu, Afgan mengakui kini lebih mendekatkan diri dengan Allah.

“Perubahan terbesar selepas mengerjakan ibadah haji pastinya saya lebih dekat dengan Allah, berserah dan tawakal dalam menjalani kehidupan.

“Siapa yang tidak ingin menjadi insan lebih baik? Rasanya kini hidup saya pun sudah semakin ‘ringan’,” ujarnya.

Mengenai Retrospektif Showcase anjuran Renjana Idea, katanya hari bersejarah itu nanti juga bertepatan pelancaran album baharunya yang berjudul Retrospektif.

“Sebanyak 25 lagu akan saya persembahkan dalam acara berdurasi lebih dua jam itu termasuk 10 karya daripada album Retrospektif.

“Showcase ini sangat istimewa kerana buat julung kali saya akan membawakan seleksi daripada buah tangan terkini saya.

“Malaysia akan menjadi tempat pertama saya berkongsi karya baharu ini. Kiranya Malaysia bukan hanya rumah kedua, bahkan menjadi lokasi premiere album ini,” katanya.

Tiket showcace dijual bermula RM358 hingga RM1,398 sejak 1 Oktober lalu menerusi laman web golive-asia.
– HIBGLAM.