‘Aktif TikTok bukan nak mengemis ‘gift’, saya mahu berkarya’

Namun buat mereka yang membesar bersama hembusan era glamor rock dan balada romantis awal 1990-an, namanya pernah berdiri megah sebagai salah seorang vokalis bersuara merdu dan berbisa dalam arena seni tanah air.

Tidak lama pun diperlukan buat Damasutra mendaki puncak gemilang. Album sulung mereka pantas menguasai carta siaran radio, sekali gus menobatkan nama band itu sebagai antara kumpulan paling disegani sepanjang dekad tersebut.

Namun seiring masa berlalu, nama Damasutra perlahan-lahan tersimpan dalam lipatan nostalgia.

Industri berubah, trend seni berganti dan legasi mereka menjadi memori indah buat peminat setia. Begitu juga dengan susuk vokalisnya, Baggio menyepi tanpa kelibat dalam televisyen mahupun di pentas besar.

Pun begitu, pertemuan eksklusif kali ini bukan sekadar membongkar kenangan Damasutra, sebaliknya fokus terhadap Baggio, seorang pemuzik yang kian lama tidak menghiasi pentas perdana tetapi tetap berdenyut nadi seninya di alam siber.

Biarpun kurang memunculkan diri, pemilik nama sebenar Bahagia Daharun itu kekal hidup dalam gelanggang digital, khususnya TikTok.

Bagaimanapun, niatnya untuk terus dekat dengan peminat disalah tafsir sebahagian netizen yang menyifatkannya ‘gian’ mengemis dek laparkan pemberian gift dalam platform terbabit.

PERNAH mengecapi puncak dunia glamor suatu ketika dahulu, Baggio juga mengakui hasad dengki manusia itu ada di mana-mana.

Bertemu empat mata dengan penghibur berusia 54 tahun itu, penulis segera mengajukan persoalan berkenaan.

Bukan mengemis!

Menepis segala komen nista, dia menegaskan TikTok bukan medan memancing simpati tetapi ruang meluah kreativitinya.

“Sebenarnya, gift atau hadiah bukan tujuan utama. Rezeki itu Tuhan bagi melalui kemampuan orang yang ingin memberi. Platform itu saya manfaatkan bukan untuk meminta atau mengemis, sebaliknya mahu menghimpun semula peminat yang mungkin terputus hubungan.

Dahulu peminat hanya mampu simpan gambar bertandatangan. Namun hari ini, mereka boleh bertemu secara virtual, berbual secara langsung. Hubungan itu jadi lebih rapat. Saya cuma mahu peminat tahu saya masih di sini, masih berkarya, masih diberikan nafas untuk menghibur.

“Saya berkarya tanpa henti. Lagu-lagu yang dulu tak sempat diketengahkan, saya siarkan dalam platform digital. Ada muzik, ada video, semuanya lengkap sebagai karya yang sempurna. Itu nikmat yang saya raikan, berkarya dan terus berkarya,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang persepsi bahawa media sosial hanya milik golongan muda, pelantun lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu menepis dengan senyum sinis.

“Jika kita tak mengikut peredaran zaman, kita akan ketinggalan sebagai aktivis seni. Sama seperti dulu guna telefon awam, kini dunia bergerak dengan telefon pintar. Seni juga begitu. Kita mesti terus bergerak, jangan mati di tempat sama.

Bila kita terus berkarya, barulah kita ada cerita. Kalau lagu meletup, itu rezeki tambahan. Tetapi jika kita berhenti, kita mati. Seni harus sentiasa tumbuh, tidak boleh beku,” ujarnya.

Sisi gelap industri seni

Beralih tentang karier dan hal seni, Baggio terlebih dahulu berseloroh sambil menghela nafas meminta penulis tidak bertanya soal penyertaannya dalam program realiti kerana sudah jenuh diasak soalan sebegitu sejak sekian lama.

Namun usikan ringan tersebut pantas bertukar menjadi pengakuan berat, saat Baggio mendedahkan satu rahsia pahit dunia hiburan yang jarang sekali disentuh artis secara terbuka.

Tanpa berselindung, anak jati Batu Gajah, Perak itu mengakui pernah menjadi mangsa ‘permainan kotor’ dalam industri.

“Ya, saya pernah mengalami hal begitu. Kita tak tahu, rambut sama hitam, hati manusia berbeza.

Pengalaman paling saya ingat, ketika persembahan Anugerah Juara Lagu. Mikrofon tiba-tiba tidak berbunyi. Masa itu hanya iman dan kawalan emosi jadi benteng sebab siaran langsung, bukan mudah nak hadap.

“Benda-benda begini bukan mustahil. Itulah budaya segelintir orang kita. Maaf cakap, tapi itu wujud. Jangan terlalu percaya, tetapi kena berhati-hati. Dalam dunia kita, ada yang sanggup guna cara hitam demi menang,” dedahnya.

Disoal mengapa agaknya masih wujud pihak memilih jalan gelap berbanding mengangkat bakat sebenar, Baggio berkata, itulah rencam manusia dan permainan dunia seni

Oh, itulah permainan dunia. Ada pihak rasa itu cara paling cepat untuk ke depan. Tetapi pada saya, itu tidak gentleman. Tidak jantan dalam gelanggang seni.

“Saya tak tuduh sesiapa. Cuma sebagai penggiat seni, kita kena sentiasa berjaga-jaga serta kembali kepada Allah. Jangan biarkan diri dipengaruhi unsur tidak baik,” tuturnya perlahan, bersahaja, namun sarat pedoman.

USIA semakin menghampiri garis 60 tahun, Baggio kini lebih mengutamakan gaya hidup serta pemakanan sihat.

Media sosial sudah diterokai, rahsia seni pun sudah ditelanjangkan lantas penulis mengalih haluan, bertanya perihal kesihatan tubuh seorang anak seni yang masih kelihatan ligat dan segar bugar walau usia tidak lagi dalam lingkungan muda.

Pelakon drama Penjara Janji itu tenang, menundukkan wajah seketika sebelum mengangkat semula pandangan dengan sinar bangga yang penuh syukur.

“Setakat ini, alhamdulillah. Tentang kesihatan, saya hanya usaha. Selebihnya kita serah kepada Allah. Saya lebihkan aktiviti sihat, saya beriadah, saya kayuh basikal. Kalau rajin, tiga kali seminggu.

Kalau ada acara kayuhan dan saya rasa mampu habiskan 60 atau 78 kilometer (km), saya masuk. Baru-baru ni saya habiskan kayuhan Lekas Highway International Ride, 78km dalam tiga jam.

“Daripada lebih 3,000 peserta, saya dalam kelompok seribu lebih. Bukan nak podium pun, saya kayuh suka-suka. Pada 14 Disember, saya akan kayuh 88km untuk Selangor International Ride. Saya diberi amanah jadi selebriti aktif mempromosi acara itu,” tambahnya.

Di sebalik stamina yang mencemburukan ramai, bapa empat anak itu mengakui selera makan tetap menjadi musuh manja yang perlu dikawal.

Saya suka makan, memang suka. Jadi saya pilih basikal untuk cepat bakar balik apa saya makan.

“Tapi kena kawal juga. Makanan berminyak saya dah kurangkan. Daging saya elak. Saya lebihkan makanan yang tubuh perlukan, hijau, berserat, baik untuk usus. Kita jaga apa masuk dalam badan,” tutupnya. – HIBGLAM