Dalam suasana penuh glamor dan emosi, Datuk Sheila Majid sekali lagi membuktikan kerelevanannya sebagai antara penghibur terunggul dalam dunia seni tanah air.
Lebih 9,000 penonton membanjiri ruang arena, menyaksikan konsert yang dinanti-nantikan peminat penyanyi bertubuh genit itu. Ini kali pertama Sheila beraksi di Axiata Arena, namun seperti biasa tiket tetap ‘sold out’.
Dari generasi yang membesar dengan lagu Sinaran hingga anak muda yang baru mengenali keindahan suaranya, semuanya bersatu meraikan empat dekad perjalanan luar biasa bintang ikonik itu.
EMPAT dekad setia mengalun vokal dan mencurahkan bakti dunia muzik, Sheila kekal di liga tersendiri.
Lebih terharu, konsert berkenaan berjaya menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Semuanya hadir dengan wajah girang demi berhibur bersama idola mereka. Turut kelihatan kelibat peminat dari luar negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan Jepun.
Sebelum konsert bermula, Sheila menjamu peminatnya dengan pembuka selera persembahan DJ yang memainkan rangkaian lagu popular penyanyi tempatan.
Pada hemat penulis, ini satu tindakan yang sangat bijak kerana sementara menanti konsert bermula, penonton dapat memanaskan halwa telinga terlebih dahulu. Tidaklah bosan dan ternanti-nanti detik idola mereka keluar panggung.
Ditambah pula dengan percikan cahaya dari ‘disco ball’ gergasi yang dipasang di tengah-tengah arena, maka rancaklah penonton berdansa manja.
Kemunculan Sheila di atas pentas merupakan ‘entrance’ yang sangat gah! Dia muncul dari bawah pentas dan membuka panggung dengan lagu Warna. Pilihan tepat untuk membangkitkan energi penonton. Persembahan pembukaan sahaja sudah hebat.
Satu perkara tentang Sheila, dia bukan sahaja hebat ketika menyanyi, celotehnya juga sentiasa dinantikan peminat. Ada sahaja telatahnya yang mencuit hati.
LEBIH 9,000 penonton membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil menyaksikan ukiran sejarah indah figura genit bernama Sheila Majid.
Sewaktu memberi ucapan alu-aluan, Sheila sempat bergurau dengan mengatakan kebanyakan peminatnya yang hadir dan duduk di barisan hadapan sudah beruban.
“Yang duduk di depan ni kebanyakan mereka sudah berusia 50 ke atas. Rambut pun dah beruban.
“Ada yang datang dengan anak. Sebab waktu hantar anak pergi sekolah dahulu, selalu pasang lagu Sheila Majid dalam kereta sampai anak pun dah hafal. Ada anak muda pernah minta untuk bergambar dengan saya, lepas tu dia kata ini adalah untuk bapanya.
“Terima kasih kepada semua yang datang ke konsert ini dari Malaysia dan luar negara. Saya hargai kesetiaan anda bersama saya selama 40 tahun.
“Anda semua memang ‘cool’. Anda di sini kerana anda mempunyai cita rasa yang hebat dalam muzik,” katanya sekali gus mengundang sorakan peminat.
Penghibur terbaik
Sejak nota pertama bergema, Sheila tampil dengan aura bintang sejati. Vokalnya masih jernih dan bertenaga, seolah-olah masa tidak pernah menjejaskan pesonanya.
Setiap bait lagu dibawakan dengan penuh perasaan. Paling menyentuh perasaan penulis adalah lagu Ku Mohon yang dinyanyikan Sheila sambil diiringi petikan piano oleh pencipta lagu itu sendiri iaitu Mac Chew.
Serba sempurna, baik dari segi vokal, pemilihan lagu, pencahayaan, sistem bunyi waima pakaian yang digayakan Shiela juga meraih pujian ramai.
Tidak ketinggalan lagu Kerinduan yang dinyanyikan sambil diiringi petikan gitar pencipta lagu ini sendiri iaitu pemuzik dan komposer terkenal Indonesia, Tohpati.
Juga lagu Legenda yang jika dahulu tatkala mendengar lagu ini, penulis akan terkenangkan bintang-bintang legenda seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Tetapi sekarang apabila melihat dan mendengar Sheila menyanyikan lagu ini, terasa seperti lagu ini adalah dicipta untuk dirinya sendiri.
Sheila mempunyai diskografi hebat yang mampu membuatkan peminatnya turut menyanyi bersama tanpa melihat lirik.
“Ini kalau saya saya menyanyi salah lirik ni habislah saya sebab anda semua hafal lirik lagu-lagu saya,” katanya.
Antara lagu lain yang didendangkan pada malam itu termasuklah Inikah Cinta, Aku Cinta Padamu, Ratu, Di Dalam Emosi Ini, Memori, Bahagia, Nada, Embun, Moving On, Selamanya, Pengemis Muda, Antara Anyer Dan Jakarta dan Dia.
Lebih mengagumkan, penyanyi asal lagu Dia iaitu Vina Panduwinata turut hadir memberi sokongan pada malam itu.
“Ini adalah satu kejutan untuk saya apabila idola saya sendiri datang menonton konsert saya. Beliau adalah penyanyi asal lagu Dia dan saya ambil lagu itu daripadanya. Terima kasih kerana susah-susah datang dari jauh untuk menonton konsert saya,” katanya.
Selain Vina, antara nama besar lain yang turut hadir pada malam itu ialah Afgan, Datuk M. Nasir, Anuar Zain, Ella, Misha Omar, Jaclyn Victor dan Fazura.
Satu yang penulis suka tentang Sheila Majid, setiap kali dia menganjurkan sebuah konsert, dia pasti akan memberikan yang terbaik daripada segala aspek.
ANUAR Zain antara vokalis ‘papan atas’ yang duduk kerusi paling hadapan, dan individu pertama yang membeli tiket setiap kali konsert Sheila.
Biarpun hanya berdiri seorang di atas pentas tanpa diiringi penari latar mahupun penyanyi undangan, namun itu sudah cukup untuk dia memukau seluruh arena. Sheila hanya mengundang anaknya sendiri iaitu Kayda menyampaikan lagu Boneka secara solo dan duet bersama.
Selain persembahan yang memukau, pentas dan pencahayaan direka dengan cita rasa tinggi memadukan kemewahan visual dan keanggunan yang sinonim dengan nama Sheila Majid.
Tanggungjawab ini diberikan kepada pereka pentas, LED dan pencahayaan iaitu Steve Ho yang turut bertanggunjawab dalam mengendalikan skop yang sama untuk konsert Jacky Cheung dan Eason Chan.
Ramai yang memuji teknik pencahayaan pada malam itu yang memancarkan sinaran penuh gah memenuhi segenap ruang arena. Tidak berlebihan dikatakan ini adalah teknik pencahayaan terbaik yang pernah penulis lihat dalam mana-mana konsert artis tempatan.
Visual yang melatari skrin gergasi di bahagian pentas juga menyatu dengan setiap persembahan. Tidak menggunakan sebarang visual grafik yang merepek dan boleh mencacatkan pemandangan dan ‘mood’ penonton.
Kesetiaan
Melihat kepada barisan tenaga kerja yang bekerja bersama Sheila, dia sememangnya seorang yang setia.
Mac Chew adalah pemuzik dan pengarah muzikal yang sudah bekerjasama dengannya sejak dari awal pembabitan Sheila dalam industri muzik. Begitu juga dengan Jenny Chin.
TohPati pula sudah bekerjasama dengannya sejak 30 tahun lalu. Penyanyi latarnya juga sudah bersamanya sejak 25 tahun lalu.
SHEILA mendendangkan lagu Kerinduan bersama pemuzik yang setia dengannya sejak awal kemunculan, Tohpati.
Tidak dilupakan pereka fesyennya iaitu Michael Ong yang setia bersamanya sejak 40 tahun lalu mereka setiap busana untuk Sheila terutamanya untuk setiap konsertnya.
Sheila menggayakan tiga persalinan berwarna merah pada malam itu. Apabila ditanya kenapa dia memakai kesemua busana berwarna merah, kata Sheila, itu simbolik kepada ulang tahun Jubli Rubi.
Konsert pada malam itu ditutup dengan lagu yang menjadi lagu tema kepada setiap peminat Sheila Majid iaitu Sinaran.
Pada penghujung konsert juga turut diumumkan bahawa konsert yang sama bakal di bawa ke Kota Singa pada Jun tahun hadapan.
Tuntasnya, konsert Sheila Majid 40 Years in Music anjuran Altus Pro house ini bukan sekadar persembahan, bahkan sebuah kenyataan, bahawa kredibiliti seorang penghibur berwibawa seperti Sheila Majid tidak pernah pudar dimamah zaman dan usia.
Empat dekad bukan tempoh yang singkat. Sheila Majid telah menjadi simbol keanggunan, disiplin, dan kecemerlangan dalam industri muzik Malaysia.
Warisan seninya bukan hanya pada lagu-lagu yang kekal malar segar, tetapi juga pada inspirasi yang ditinggalkannya kepada generasi baharu. Di tengah perubahan arus muzik moden, nama Sheila Majid kekal berdiri megah sebagai lambang penghibur terbaik Nusantara menyatukan bangsa, budaya dan negara. – HIBGLAM
