Dari pentas ke layar, rentak moden ke warisan teknologi, tiga beradik itu membina empayar yang menjulang nama Malaysia ke peta hiburan antarabangsa.
Karya mereka bukan hiburan kosong malah lagu, filem dan projek ciptaan KRU membawa semangat pembaharuan yang mencetus revolusi dalam landskap muzik tempatan, menjadikan mereka pelopor kepada era baharu industri kreatif tanah air.
Sebagai trio legenda yang terus meniti bibir peminat, aura Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kekal menyala, meskipun zaman beredar dan generasi berganti.
Selepas kejayaan luar biasa Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei 2025 yang mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records, KRU kini bersiap menggegarkan GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil 22 November ini.
Konsert tersebut disifatkan sebagai sebuah perhimpunan nostalgia yang bakal menutup tirai tiga dekad mereka dalam gema penuh sejarah dan emosi.
Namun, di sebalik pencapaian gemilang itu ramai berpendapat kisah KRU sudah layak diabadikan dalam bentuk dokumentari atau filem biopik.
Naratif perjuangan mereka bukan kecil tetapi beralur sebagai kisah tiga beradik yang menongkah arus dan membina mercu tanda muzik Malaysia moden.
Merendah diri, anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim mengakui belum bersedia untuk mengangkat perjalanan karier mereka ke layar perak dalam bentuk filem biopik mahupun dokumentari.
KRU bakal belayar bersama peminat menerusi STAR KRUise Showcase, anjuran SUKA Cruise dengan sokongan StarDream Cruise dan Sony Music Malaysia.
Ujar pemuzik berusia 49 tahun itu, andai perkara tersebut dijayakan, dia dan dua abangnya, Norman serta Yusry lebih selesa menyerahkan tugas itu kepada pihak luar agar karya yang dihasilkan tampak lebih tulus dan tidak syok sendiri.
Mengenai kami, biarlah orang lain yang hasilkan. Kalau kami sendiri buat, nanti nampak seperti angkat bakul sendiri. Tak manis begitu.
“Sama juga kalau nak buat filem biopik, lebih baik biar pihak luar yang menguruskannya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah penulis lirik dan komposer terkenal itu, walaupun banyak pihak mengusulkan agar KRU menghasilkan dokumentari khas, dia percaya masa yang sesuai belum tiba untuk mereka membuka lembaran kisah sebenar di sebalik kejayaan.
“Ramai datang minta kami hasilkan dokumentari atau biopik, tapi saya rasa belum tiba waktunya. Takkan kami nak buat cerita tentang diri sendiri untuk diri sendiri, kan?
Tambahan pula, kalau mahu hasil yang eksklusif, semuanya kena diceritakan. Sedangkan ada perkara peribadi dalam hidup kami yang tak semua wajar dikongsi.
“Kadang-kadang bila buat dokumentari atau biopik, ada perkara yang kami sendiri tak selesa nak kongsi,” ujarnya pada sidang media StarKRUise Showcase, baru-baru ini.
Paling penting kata Edry, banyak hal yang mungkin lebih sesuai diceritakan apabila perjalanan KRU benar-benar sampai ke noktah terakhir.
Mungkin satu hari nanti, bila masa dah tiba, biarlah orang lain yang buat. Cerita kami pun belum habis lagi.
“Cerita kami belum ada penamat. Kalau belum ada ending, susah nak cerita,” jelasnya. – HIBGLAM
