‘Tak buat muka, hanya lakukan rawatan rejuvan, skin booster’

Demikian kata pelakon Ezzanie Jasny yang menafikan dakwaan melakukan pembedahan kosmetik pada wajahnya gara-gara dilihat semakin jelita.

Menurut Ezzanie atau nama lengkapnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 26, perubahan yang dilihat ramai berpunca daripada gaya hidup sihat, penurunan berat badan dan rawatan wajah.

Sebelum ini, ketika penggambaran drama Layang-Layang Perkahwinan, penampilan saya agak berisi dan sedikit tembam. Ketika itu berat badan saya 58 kilogram, sekarang berat saya 51 kilogram.

“Saya sendiri ambil inisiatif untuk kurangkan berat badan kerana sebagai pelakon penampilan adalah perkara yang penting,” katanya ketika di temui di majlis pelancaran kempen Still Me With More oleh BMF The Aesthetics People dan Svenson sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, semalam.

Ditanya sama ada statusnya dalam akaun Threads yang ingin mengundurkan diri daripada media sosial ada kena mengena dengan dakwaan itu, kata Ezzanie dia buat pilihan itu kerana merasakan media sosial kini penuh dengan komen toksik.

Bila ada yang mendakwa saya ‘buat muka’, saya tak terkesan. Saya hanya buat rawatan kecantikan seperti rejuran dan ‘skin booster’. Tambahan pula saya kini duta kepada pusat kecantikan, jadi saya kerap lakukan rawatan pada wajah dan tubuh.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keadaan diri saya sekarang. Saya bangga dengan warna kulit saya yang sawo matang. Tak perlu putih untuk nampak cantik,” ujarnya yang merupakan duta kepada BMF The Asthetic People.

Sebagai duta BMF sejak Jun 2025, Ezzanie turut berkongsi pandangannya tentang bagaimana tekanan media sosial boleh mempengaruhi keyakinan diri, namun dia memilih untuk kekal autentik dan bersyukur dengan dirinya sendiri.

Pada sesi perbualan tersebut turut diundang ialah Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan, Universiti Malaya dan kaunselor bertauliah yang berkongsi kepentingan menjaga kesihatan mental dalam era digital.

Dr. Azmawaty menekankan bahawa tekanan sosial dan perbandingan diri di media sosial boleh menjejaskan kesejahteraan emosi jika tidak dikawal dan menggalakkan masyarakat untuk lebih empati serta mengambil masa untuk berehat serta menghargai diri sendiri.

Selain Ezzanie, turut hadir ialah duta Svenson iaitu selebriti dan cef, Datuk Fazley Yaakob yang berkongsi tentang keseimbangan hidupnya sebagai selebriti, cef, bapa dan usahawan. – HIBGLAM