Pemilik nama lengkap Norhazlinda Hashim, 41, kesal dengan tindakan wanita berkenaan sedangkan hubungan dia dan Beego hampir berakhir.
“Semalam ‘girlfriend’ (kekasih) dia cari dan marah saya, pesan jangan bagi harapan kepada Beego sebab nak mulakan hidup baharu. Teruskan sebab saya pergi mahkamah memang nak cerai.
“Masalahnya dia (kekasih Beego) cari saya. Masa tengah suka, seronok, mereka lupa dan buat-buat lupa saya ini siapa.
“Bila dah terkena, ditinggalkan, ada masalah baru datang cari saya dan bagi saya masalah. Nak buat apa? Saya dengan dia pun dah nak berpisah, kenapa datang cari saya?,” katanya kepada Kosmo! Online usai tayangan perdana filem Hayya 3: Gaza di Pavillion Bukit Jalil, semalam.
Pelakon filem Syaitan Munafik itu bahkan mengakui kewujudan wanita terbabit sedikit sebanyak mengganggu emosinya kerana masalah rumah tangga bersama Beego masih belum selesai walaupun hampir setahun berurusan dengan mahkamah.
“Benda ini mengganggu saya (kekasih Beego). Masalah saya dengan dia pun belum selesai hampir setahun.
“Orang yang menyondol yang cari saya ini, buat saya rasa macam terbeban. Saya rasa serabut.
“Saya fail bulan Jan, keluar rumah bulan 10. Lama kan, macam ada masalah lain yang terselit jadi saya tidak mahu ada gangguan begitu,” tegasnya.
Linda bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai berapa ramai wanita yang tampil mengaku sebagai kekasih Beego.
Berkongsi lanjut, ibu kepada tiga orang anak itu turut kesal dengan kenyataan Beego berhubung perjanjian taklik yang dikatakan sebelum ini.
“Sebenarnya ada sedikit kenyataan dia yang tak betullah fasal taklik. Saya tidak tahu apa dia cakap dan mengarut.
“Kenyataan Beego adalah saya guna taklik untuk lepas diri. Tidak! hakim yang minta saya fail taklik masa pergi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) untuk bagi kenyataan penuh.
“Bagi saya dia bermain-mainlah dengan taklik dan lafaz selama ini. Dalam masa sama saya rasa dia mempermainkan saya jugalah.
“Saya pergi mahkamah sampai ke tahap sekarang bukan sebab nak main-main. Jadi, sebab itu saya terlepas juga keluarkan kenyataan mengatakan dia menipu,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, Beego yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini memaklumkan mengeluarkan lafaz yang selamat iaitu menyatakan taklik hanya bermula jika isterinya kembali taat.
Namun katanya, Linda tidak balik ke pangkuannya selama setahun, sekali gus dia menganggap taklik tersebut sebagai tidak sah.
Linda dan Beego pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 sekali gus hadir bersama ke mahkamah bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Linda turut memaklumkan mereka bercerai kali kedua selepas beberapa bulan rujuk kerana masalah sama iaitu tiada persefahaman walaupun mendakwa sudah banyak kali peluang diberikan.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan, Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6. – HIBGLAM.
