Tahun 2025 menyaksikan beberapa nama besar terpalit isu hutang, cukai tertunggak serta kegagalan pelaburan.
Hakikatnya, industri hiburan Korea kini bukan sahaja dinilai dari segi populariti tetapi bagaimana artis menguruskan rezeki mereka dengan bijak dan berhati-hati.
HibGlam menyenaraikan empat selebriti Korea yang kini khabar diuji masalah kewangan.
Kim Soo‑hyun

PELAKON Kim Soo‑hyun dilaporkan berisiko kehilangan ribuan juta won selepas beberapa jenama utama menamatkan kerjasama komersial dengannya.
Laporan menyatakan pelakon drama Queen Of Tears itu mungkin berdepan kerugian 20 bilion won (lebih RM60 juta) termasuk penalti kontrak dan kehilangan tawaran iklan.
Kes tersebut sekali gus membuktikan bukan sahaja hutang atau cukai menjadi beban tetapi reputasi dan kerjasama komersial juga boleh mengakibatkan kerugian besar.
Yoo Yeon-seok

PELAKON Yoo Yeon-seok dikejutkan dengan tuntutan cukai tambahan sebanyak tujuh bilion won (sekitar RM25 juta), menjadikannya antara jumlah tertinggi yang pernah dikenakan terhadap artis Korea.
Pihak agensi menyatakan isu tersebut berpunca daripada perbezaan tafsiran antara pihak cukai dan akauntan peribadi Yeon-seok terutama berkaitan pendapatan diperoleh di bawah syarikat persendirian atau pendapatan peribadi.
Meskipun belum disahkan sama ada perlu membayar penuh, kes ini mencetuskan persoalan bagaimana selebriti menguruskan pendapatan.
Laporan lanjut menyatakan jumlah denda mungkin dikurangkan kepada tiga bilion won (RM10.7 juta) selepas proses semakan dan pengakuan potensi double taxation (cukai berganda).
Lee Yi-kyung

PELAKON Yi-kyung secara terbuka mengaku menjadi mangsa skim pelaburan palsu.
Jejaka berusia 36 tahun itu kini berhutang 500 juta won (sekitar RM1.7 juta) dan masih berusaha melangsaikannya.
“Saya fikir sudah buat pelaburan yang bijak tetapi malangnya saya tertipu.
“Insiden ini menyedarkan saya betapa pentingnya belajar ilmu kewangan,” katanya dalam sebuah temu bual.
Kes ini mendapat perhatian ramai kerana bintang filem Hitman 2 itu sebelum ini dikenali sebagai figura yang ceria dan berjaya, namun kini berdepan tekanan besar akibat beban hutang.
Park Si-hoo

PELAKON Park Si-hoo dilaporkan kehilangan hampir 2.5 bilion won (sekitar RM9 juta) selepas menjadi mangsa pelaburan palsu luar negara.
Kes tersebut disiasat pihak berkuasa dan pemilik nama sebenar Park Pyeong-ho itu dikatakan sedang menuntut semula sebahagian wangnya.
Kes itu menjadi pengajaran terbesar buat Si-hoo agar tidak terperangkap dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan besar. – HIBGLAM
