Seniman mengutuk tindakan ‘menculik’ sukarelawan GSF

Presidennya, Zed Zaidi berkata, sebagai persatuan yang memayungi semua penggiat seni termasuk pelakon dan penyanyi pihaknya peka dengan situasi membabitkan nasib rakyat Malaysia termasuk ahli mereka agar dapat pulang dengan selamat.

“Seniman mengecam tindakan tentera Israel menahan aktivis kemanusiaan termasuk penggiat seni yang menyertai misi menyalurkan bantuan keperluan asas kepada rakyat Palestin.

“Tindakan itu merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kami menggesa kerajaan mengambil langkah segera membantu aktivis yang terlibat dengan menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Seniman juga akan menghantar nota bantahan kepada pihak berkaitan sebagai suara rasmi untuk kita sama-sama melaungkan sokongan serta semangat kepada semua sukarelawan GSF,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut Zed lagi, rakyat Malaysia juga harus beramai-ramai mengutuk tindakan terhadap kapal awam di laut lepas yang mempunyai hak kebebasan belayar apatah lagi hanya membawa bantuan makanan dan perubatan,” ujarnya.

Menerusi laporan terkini, seramai 15 daripada 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan ditahan tentera Israel setakat ini, selepas kapal mereka dipintas awal pagi tadi ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Antaranya peserta di beberapa kapal yang dipintas Israel termasuk penyanyi Zizi Kirana, Heliza dan Hazwani Helmi serta pempengaruh, Farah Lee.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), setakat jam 11 pagi ini, sembilan lagi tidak diketahui status mereka manakala dua lagi masih dilihat meneruskan pelayaran.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas flotila yang membawa peserta antarabangsa itu.

Menurut beliau, konvoi tersebut membawa sukarelawan awam tanpa senjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun tetap berdepan ugutan dan tindakan paksaan oleh rejim Zionis. – HIBGLAM