‘Selagi darah para syuhadah mengalir, Palestin mustahil ditakluk’

Ujar Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, kehilangan insan seperti Saleh sangat menyedihkan namun percaya berpuluh lagi individu seumpama itu akan bangkit.

“Setiap kali gugur satu jiwa pejuang di bumi Gaza, akan lahir berpuluh lagi yang bangkit menggenggam semangat mereka terdahulu dengan jiwa lebih teguh.

Selagi darah para syuhada mengalir menyuburi bumi barakah itu, ketahuilah, segala kezaliman, tipu daya dan kekuatan bala tentera Iblis laknatullah tidak akan pernah berjaya menaklukkannya.

“Kerana bumi itu dilindungi janji Allah, dijaga keberanian insan-insan yang telah menyerahkan segalanya demi kebenaran,” katanya dalam Threads

Ungkapan penuh emosi itu mengundang rasa hiba ramai netizen yang turut bersedih mengenang keberanian wartawan muda tersebut.

Rata-rata menyifatkan coretan isteri kepada aktor Yusuf Bahrin itu sebagai peringatan agar dunia tidak leka terhadap kezaliman yang terus menimpa bumi Gaza.

“Meremang baca kata-kata Zizi, begitu dalam maksudnya. Semoga Allah pelihara pejuang di sana,” tulis seorang pengguna media sosial.

Biarpun mereka gugur, semangat perjuangan itu tidak akan pernah mati,” ujar pengguna lain.

“Terima kasih Zizi kerana terus bersuara. Dunia perlu tahu penderitaan yang sedang berlaku,” komen seorang lagi netizen.

Terdahulu, dunia dikejutkan dengan berita kematian Saleh Aljafarawi, 28, wartawan muda Palestin yang terkenal kerana mendokumentasikan kemusnahan Gaza menerusi laporannya di media sosial.

Difahamkan, Saleh ditembak tujuh das oleh anggota bersenjata ketika membuat liputan di kejiranan Sabra, menjadikan namanya tersenarai antara ratusan petugas media yang terkorban dalam perang genosid Israel ke atas Gaza.

Dengan lebih 635,000 pelanggan di YouTube dan 251,000 pengikut di laman X, Saleh menjadi suara lantang dunia Arab yang tidak pernah gentar menyingkap kebenaran meski diancam bahaya setiap detik. – HIBGLAM