‘Saya macam mayat hidup semasa berpantang, baby blues teruk’

Menurut Shila, 35, setiap ibu bapa yang baru memiliki anak sememangnya tidak terlepas daripada bergelut untuk membiasakan diri dengan fasa baharu tersebut termasuk ‘baby blues’ iaitu kecelaruan emosi.

“Bergelar ibu bapa buat kali pertama memang sukar, tidak kira apa yang orang lain kata.

“Kalian akan mula belajar banyak perkara tetapi dalam masa sama melalui tempoh kurang waktu tidur dan berdepan dengan emosi berbeza.

“Adakalanya waktu paling sunyi itulah yang paling mencengkam kerana kegembiraan diharap tidak selari dengan yang dirasakan. Ketika itu ‘baby blues’ akan mula meresap dalam diri,” katanya dalam platform Threads.

Katanya, setiap ibu bapa tidak sepatutnya menyalahkan diri sekiranya banyak perkara yang berlaku tidak seperti dibayangkan.

“Kepada semua ibu dan ayah baru, tolonglah berdamai dengan diri sendiri. Kalian bukan gagal cuma sedang menyesuaikan diri.

“Kalian sedang melakukan yang lebih baik daripada apa yang sepatutnya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Shila berkata dia tidak terlepas daripada melalui banyak perubahan terhadap dirinya termasuk saiz fizikal.

“Saya dan Ubai nampak macam mayat hidup ketika dalam tempoh berpantang, ditambah pula anak kena demam kuning.

“Saya juga berhenti menyusukan sebab Ubai kata ‘baby blues’ saya teruk sangat, menangis hampir setiap hari.

“Tapi untuk semua ibu dan ayah di luar sana, kalian tidak keseorangan,” tuturnya.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 34, dan Ubai, 27, mendirikan rumah tangga pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira.

Shila juga mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan terdahulu bersama Haris Edraki. – HIBGLAM