Auddra atau lebih dikenali sebagai Odah, 16, menjelaskan idea tersebut tercetus selepas ramai peminat menyuarakan kerinduan melihat keletah mereka.
“Sebenarnya, kalau ada sesiapa atau Astro yang tengok (temu bual), kami memang nak ada rancangan trio (bertiga).
Ramai netizen komen rindu Trio Mut (nama kumpulan). Kami pun rindu sebenarnya.
“Kami nak pergi pulau atau bercuti, boleh buat drama. Suka kan macam itu, mesti seronok,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, anak kepada penyampai radio Sharifah Shahirah itu memaklumkan hubungan mereka bertiga kekal rapat meski program TTMM berakhir.
Kami memang berhubung setiap hari. Saya akan kacau mereka dan mereka sebenarnya rimas dengan saya.
“Memang ada kumpulan WhatsApp kami sebab selalu mesej ‘dekat mana?’.
“Kami selalu borak mengenai TTMM atau ajak keluar lepak,” katanya lagi.
Sebelum ini, Auddra, Ammar dan Hadie mula rapat selepas sama-sama menyertai program TTMM.
Keakraban mereka sering menjadi perhatian peminat hingga ada yang mengusik kononnya wujud hubungan istimewa antara mereka. – HIBGLAM
