Menurut Fareez atau nama penuhnya Muhammad Fareez Hazwan Mohd. Fauzi, 28, menyifatkan kemenangan itu hasil titik peluh dan dedikasi sepanjang menjalani latihan intensif untuk kejohanan berprestij tersebut.
“Saya bermula tanpa banyak pengalaman dalam pertandingan seperti ini.
“Namun, saya percaya dengan usaha konsisten. Hari ini, semua pengorbanan itu berbaloi,” katanya.
Selain Fareez, dua lagi pempengaruh, Mat Alip dan Imranul Effendy turut menjuarai pertandingan anjuran All Star Influencer Sdn. Bhd. yang berlangsung pada 18 Oktober lalu.
Pertarungan itu menyaksikan aksi sengit dan penuh disiplin antara pempengaruh yang membuktikan kemampuan mereka di arena kecergasan dan sukan kompetitif.
Dalam kategori Flyweight, Mat Alip berjaya menewaskan Oyot dengan kelebihan ketahanan dan teknik serangan tepat. Imranul Effendy pula mengungguli kategori Lightweight selepas menumpaskan Amir, manakala Fareez Fauzi tampil lincah menewaskan Sheikh Sonic, sekali gus bergelar juara Midweight.
Menurut penganjur All Star Championship, Datuk Abd. Rahman Soltan, kesemua peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi bagi membuktikan kekuatan masing-masing.
“Peserta berlatih bersungguh-sungguh walaupun ramai bermula dari kosong.
“Mereka bukan bermain-main. Disiplin dan semangat mereka benar-benar mengagumkan,” katanya.
Tambahnya, kejohanan ini juga menggabungkan unsur sukan dan digital selaras dengan usaha mempromosikan pelancongan domestik melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kejohanan ini bukan sahaja mengetengahkan bakat baharu dalam dunia kecergasan, tetapi juga berjaya menggabungkan sukan dan dunia digital, apabila mencatat tontonan tinggi sepanjang siaran langsung di platform media sosial.
“Malah, kejohanan ini membuktikan bahawa dunia sukan dan digital boleh bergerak seiring. Ini bukan sekadar pertandingan tetapi platform untuk mendidik, menginspirasi dan menyemai semangat juang anak muda,” ujarnya.
Ketiga-tiga juara All Star Championship 2025 akan diterbangkan ke Dubai bagi mewakili Malaysia dalam pertarungan peringkat antarabangsa menentang pemenang luar negara yang juga satu peluang besar untuk mengangkat nama pempengaruh tempatan di pentas global. – HIBGLAM
