Agar segalanya berjalan mengikut aturan, Luna, 42, juga mahu memastikan dia dan suami, Maxime Bouttier bersedia sepenuhnya untuk bergelar ibu bapa.
“Mengikut perancangan, tahun depan. Buat masa sekarang, kami masih ambil masa dan jalani kehidupan hidup berdua.
“Kalau sudah stabil dan ada kediaman yang baik, barulah akan memasuki fasa seterusnya. Saya pula individu yang sangat tersusun, semua harus berjalan mengikut aturan.
“Jadi, saya perlu bersedia sepenuhnya secara mental dan fizikal sebelum memiliki anak. Tak mahu ada rasa penyesalan ditambah pula sekarang masih ada kerja yang belum disiapkan,” katanya kepada HibGlam pada malam gala filem Sukma malam tadi.
Ujarnya, selain bersedia secara mental, dia juga menekankan aspek kewangan kerana merasakan kos memiliki anak juga semakin mahal.
“Sekarang perancangan harus rapi, termasuk ada wang simpanan kerana memiliki anak adalah mahal.
“Saya mahu beri yang terbaik dan paling penting ialah memastikan kami berdua memang bersedia secara mental dan fizikal untuk memiliki anak.
“Sebenarnya bukanlah terlalu bimbang tetapi mahu pastikan semua aspek benar-benar ‘solid’ supaya dapat berikan terbaik untuk anak kami kelak,” ujarnya.
Ditanya perancangan jumlah cahaya mata yang ingin dimilikinya, pemilik nama penuh Luna Maya Sugeng itu menegaskan hanya seorang.
“Saya mahu seorang anak sahaja sebab manusia di bumi ini sudah ramai dan tak perlu ditambah-tambah lagi.
“Tak mengapa kalau ada seorang sahaja asalkan hasilnya berkualiti cuma kalau ada perancangan nak tambah, mungkin boleh ambil anak angkat atau cara lain.
“Kita lihat bagaimana nanti, kalau diberi rezeki satu, Alhamdulillah,” jelasnya yang masih mempertimbangkan untuk hamil secara normal atau menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Dalam perkembangan lain, Luna kini berada di Malaysia bagi mempromosikan filem seram terbaharunya, Sukma arahan Baim Wong.
Naskhah yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober tersebut turut membariskan Anna Jobling, Christine Hakim, Fedi Nuril dan Oka Antara.
Terdahulu, Luna selamat bergelar isteri kepada Maxime yang 10 tahun lebih muda daripadanya dalam sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 7 Mei lalu. – HIBGLAM
