Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, insiden berkenaan wajar dijadikan peringatan besar buat semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam membentuk sahsiah dan emosi anak-anak.
“Salam takziah buat keluarga mangsa pelajar yang terlibat dalam tragedi itu.
Berita menyedihkan ini benar-benar menjadi peringatan buat semua ibu bapa, guru dan seluruh masyarakat. Kita mempunyai tanggungjawab bersama dalam membentuk dan membimbing anak-anak.
“Sistem sekolah dan peraturan sememangnya perlu diperketatkan, namun realiti sebenar saya faham jumlah pelajar yang ramai menjadikan tugas guru sangat mencabar untuk memantau setiap murid,” katanya dalam Threads.
Selain itu, pelakon drama Racun Rihanna itu mengingatkan golongan ibu bapa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memberikan lebih perhatian terhadap anak.
“Dalam masa yang sama, tragedi ini juga mengingatkan kita tentang pentingnya peranan ibu bapa di rumah untuk mendidik, membimbing dan paling utama memberi perhatian.
“Perhatian dan komunikasi dengan anak-anak sangat penting kerana mereka masih muda dan sedang belajar membezakan antara yang betul dan salah.
Bagaimana seorang pelajar boleh membawa senjata ke sekolah tanpa disedari sesiapa. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita sentiasa peka, mendengar dan mengingatkan anak-anak tentang empati, kebaikan serta akibat perbuatan mereka,” jelasnya.
Intan turut menyeru agar semua pihak bermuhasabah dan memainkan peranan peranan masing-masing sebelum tragedi serupa berulang.
Marilah kita semua muhasabah dan mainkan peranan masing-masing, bukan hanya bila tragedi berlaku tetapi setiap hari bermula dari rumah sendiri,” ujarnya lagi.
Hari ini, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas disyaki ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya , Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian sekitar pukul 9.10 pagi itu berlaku di dalam tandas perempuan sekolah berkenaan.
Katanya, polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – HIBGLAM