‘Mahram? Saya cuma perlu minta izin suami, keluarga’

Meskipun tidak mengetahui secara terperinci mengenai hal terbabit, Zizi atau nama lengkapnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, memaklumkan penyertaan wanita dalam misi berkenaan adalah bagi tujuan kemanusiaan, bukannya untuk kepentingan peribadi.

Saya tidak tahu fasal cerita ini, apa yang saya boleh kongsi di sini setiap misi kemanusiaan mesti membabitkan peserta lelaki dan perempuan termasuk ke Gaza yang disertai ramai kaum hawa.

“Bukan lelaki semata-mata, tambahan pula matlamat kami adalah untuk mewakili wanita-wanita Malaysia untuk bertemu atau menyantuni dan menziarah wanita di Gaza.

Kalau nak pertikaikan hal mahram, saya cuma perlu minta izin suami dan keluarga. Benda ini pun tular berkenaan wanita pergi misi dikatakan tak elok.

“Alhamdulillah, kami dapat penjelasan yang jelas daripada mufti dan jabatan agama. Jadi tiada isu,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Pada masa sama, pelantun lagu Eh! itu tidak ambil hati dengan tindakan seorang pereka fesyen yang dikatakan antara individu terawal mencetuskan kontroversi tersebut.

“Bagi isu pereka fesyen itu, saya tidak tahu. Saya tidak tahu nak tersinggung atau apa.

Memang balik daripada misi, saya demam. Saya berehat dan luangkan masa dengan keluarga kerana kebetulan mak saya dari Sabah juga datang sini,” ujarnya.

Terdahulu, tular tangkap layar seorang pereka fesyen bersama pengikutnya yang berbual berkenaan isu Zizi dan PU Rahmat ditangkap tentera Israel selain mempersoalkan tentang wanita bermusafir tanpa ditemani mahram.

Menurutnya, bisikan qarin (syaitan) tetap ada bersama dan percaya perlunya ada mahram terutamanya saat merentasi samudera terbuka bersama ajnabi.

Kenyataan tersebut mengundang amarah rakyat Malaysia kerana dianggap tidak sensitif dengan musibah yang dilalui aktivis tersebut dan tidak menghormati perasaan keluarga mereka. – HIBGLAM