Magis vokal empat beranak, tiada tandingan!

Mana tidaknya, selain memiliki deretan lagu popular dan malar segar, keempat-empat penyanyi itu juga merupakan pemenang anugerah bagi kategori vokal terbaik Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu.

Masing-masing mempunyai kekuatan vokal yang bukan calang-calang. Bila digabungkan kesemuanya pastinya akan memberikan sesuatu yang bertaraf mega.

Dan ternyata segala telahan awal itu benar-benar menjadi kenyataan pada tanggal 18 Oktober lalu di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Mereka berjaya mencipta magis tersendiri dan memukau 4,500 penonton yang hadir menyaksikan persembahan bertenaga mereka.

ZIANA membuktikan usia bukan penghalang buat dirinya terus melantunkan vokal dengan cemerlang.

Ziana misalnya, pada usia 57 tahun masih mampu mengalunkan lagu-lagu bernada tinggi.

Kekuatan vokal

Kekuatan vokal Ziana bukan sahaja merangkumi nada-nada tinggi, tetapi juga nada rendah. Setiap sebutan bait-bait lirik yang dilontarkan sangat jelas.

Pada konsert kali ini, Ziana menghadiahkan peminat-peminatnya dengan lagu-lagu yang jarang didendangkannya seperti Kesuma Hati dan Riwayat Cinta yang dipetik daripada album pertamanya, Madah Berhelah terbitan 1991.

Agak-agak peminat tahu tak lagu ini dipetik daripada album yang ke berapa? Saya sendiri pun kadang-kadang lupa lagu saya daripada album yang mana,” katanya.

Anuar Zain pula punya aura yang sungguh besar. Teriakan penonton saat muncul di atas pentas sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau merupakan penghibur ‘papan atas’.

MELEPASI garis usia 55 tahun, Anuar membenam bukti usia hanya nombor.

Penghayatan dan pesona susuk bernama Anuar Zain sukar dicari pada penyanyi-penyanyi lain. Setiap kali dia menyanyikan lagu Lelaki Ini dan Sedetik Lebih, setiap kali itulah bulu roma penulis akan merinding.

Sewaktu menyampaikan lagu Mungkin, Anuar sempat berkongsi trivia tentang lagu tersebut yang pada asalnya diberikan kepada Ziana dan seorang lagi penyanyi wanita, namun akhirnya lagu itu menjadi miliknya.

Apabila anak saudara Ziana dan Anuar iaitu Ernie Zakri mengambil alih pentas, transisi muzik teralih kepada era kini dengan lagu-lagu hebat seperti Masing Masing dan Aura.

Satu tentang Ernie, vokalnya beralun lembut tetapi penuh kuasa. Setiap kali dia membuka mulut jelas kedengaran segala ilmu muzik yang tersemat di dadanya. Dia mempunyai teknik nyanyian yang pelbagai.

Saya sangat menantikan detik ini sejak dari dulu lagi di mana dapat sama-sama berkongsi satu pentas bersama Mak Long dan Pak Ngah saya. Tak sangka akhirnya impian saya menjadi kenyataan,” luah Ernie teruja.

Biarpun tidak mempunyai pertalian darah, tetapi jangan dipandang enteng pada bakat nyanyian yang ada pada suami Ernie iaitu Syamel. Kehadirannya dalam hidup Ernie melengkapi salasilah keluarga hebat ini.

Pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie berduet di pentas sama menerusi konsert Empat Live In Kuala Lumpur.

Kekuatan Syamel adalah stamina dan penghayatannya dalam setiap lagu yang didendangkan.

Penulis terpana melihat persembahan Syamel tatkala dia menyanyikan lagu Perpisahan daripada Anuar Zain.

Selamat datang ke acara hari keluarga. Bukan senang nak tengok kami sekeluarga menyanyi dalam satu acara. Terima kasih Pak Ngah (Anuar Zain) kerana menganjurkan konsert ini,” katanya.

Duet

Satu yang penulis suka tentang konsert ini adalah apabila masing-masing menyanyikan lagu setiap seorang dan berduet sesama sendiri.

Lagu Waktu nyanyian Ziana Zain dan Hasif Upin disampaikan penuh cemerlang oleh Ziana dan Syamel. Paduan suara Syamel dan Anuar juga begitu hebat tatkala mereka berduet menyampaikan lagu Di Belakang Tabir dan Cinta Harus Memiliki.

Ziana sempat berseloroh usai menyanyikan lagu Syamel berjudul Hidup Dalam Mati bahawa lagu itu agak sukar untuk dinyanyikan.

Saya jarang menyanyi lagu orang lain. Tetapi hari ini kena menyanyi lagu anak buah. Hidup Dalam Mati pula tu. Separuh mati menyanyi lagu mereka,” katanya mengundang ketawa penonton.

Apa yang penulis dapat lihat menerusi konsert kali ini, penganjurannya lebih baik dan kemas berbanding konsert solo Ziana Zain tahun lalu yang turut dianjurkan Anuar Zain Network.

ANUAR dan Ziana turut berpadu suara di pentas konsert Empat Live In Kuala Lumpur.

Sistem bunyi dan pencahayaan juga ditambah baik menjadikan konsert kali ini kelihatan lebih gah. Susunan muzik yang disusun oleh pengarah muzik Lee Sze Wan juga kedengaran segar dan dramatik.

Ziana, Anuar, Ernie dan Syamel juga tampil bergaya dalam persalinan serba indah rekaan pereka fesyen kegemaran masing-masing.

Anuar sempat berseloroh mengatakan busana yang digayakan Ziana rekaan Ezuwan Ismail kelihatan seperti kobis dek kelopak besar yang terdapat pada baju tersebut.

Konsert pada malam itu diakhiri dengan lagu terbaharu mereka berjudul Jangan Henti ciptaan Edry Abdul Halim yang buat pertama kali dipersembahkan kepada peminat.

Tahniah buat penganjur konsert Empat Live In Kuala Lumpur termasuk ke semua yang terlibat. Sekadar harapan, tidak salah andai persembahan ini ada sekuelnya. – HIBGLAM