Konsert Legacy 30 simbol pengorbanan, kejayaan saya – Siti Nurhaliza

Konsert berskala mega itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun pembabitannya dalam arena muzik, sekali gus menandakan dedikasi, cinta dan keikhlasan terhadap muzik selain mengangkat warisan seni Malaysia ke persada antarabangsa.

Penganjur SN Legacy Sdn. Bhd. berkata, penganjuran konsert di stadium ikonik itu bukan bertujuan memecah rekod 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya perancangan teliti bagi memberikan pengalaman selesa, epik dan penuh makna.

“Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, gelanggang gah itu dipilih sebagai lokasi terbaik bagi menghimpunkan peminat penyanyi nombor satu negara itu dari seluruh negara dan rantau Asia,” katanya.

Sementara itu, Siti menjadikan konsert berkenaan sebagai perhimpunan besar bagi meraikan detik 30 tahun penuh sejarah bersama penyokong setianya.

Legacy 30 bukan sekadar konsert, tetapi simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun bersama peminat yang selama ini memberikan sokongan.

“Saya harap dapat bersama-sama mereka meraikan detik istimewa ini serta menyelami kembali karya yang menjadi sebahagian kenangan dan sejarah karier saya,” ujarnya.

Siti yang sudah merakamkan lebih 20 album berkata, penganjuran konsert Legacy 30 juga berlangsung tepat pada waktunya apabila seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia ( TMM) 2026.

Momentum itu dijangka menarik peminat dari pelbagai negara ke Malaysia, sekali gus menyokong usaha mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.

Lebih istimewa, konsert kali ini akan berlangsung sehari sebelum beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-47, menjadikan ia satu perayaan peribadi dan profesional yang cukup bermakna.

Bertepatan dengan penganjuran konsert di venue bertaraf antarabangsa, Siti Nurhaliza dan pasukannya sudah merangka perancangan teliti termasuk menampilkan penataan pentas dan teknologi produksi terkini.

Terdahulu, zejak beberapa hari lalu Siti Nurhaliza dan pengurusannya sudah berkongsi pelbagai bayangan mengenai penganjuran konsert itu di semua platform media sosial.

Susulan itu, ramai pengikut setia penghibur yang menjadi pujaan ramai itu termasuk penggemar muzik Indonesia teruja selain membuat pelbagai telahan.

Pra-jualan eksklusif dibuka hari ini bermula pukul 12 tengah hari hingga Jumaat pukul 12 tengah hari, manakala
jualan tiket kepada orang ramai pula bermula Jumaat pukul 3 petang menerusi platform ticket2u.

Harga tiket yang ditawarkan adalah antara RM69 hingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk. – HIBGLAM