‘Kalau nak main ‘roller coaster’, cari orang lain’

Kepercayaan dan perbelanjaan tinggi ditabur sesebuah jenama yang terlibat seharusnya dibalas dengan impak serta hasil mendatangkan keuntungan bagi kedua-dua belah pihak.

Perkara tersebut diakui Erra Fazira selepas hampir lima tahun bergelar duta kepada rangkaian produk makanan Captain Dolphin.

Akui Erra, 51, dia tidak mudah menerima tawaran untuk bergelar duta mana-mana produk selama ini sebaliknya hanya akan bekerjasama dengan jenama yang diyakini daripada semua aspek.

“Saya sangat bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk tahun kelima bagi menjalin kerjasama dengan Captain Dolphin.

Kerja saya sebagai duta bukan jual muka untuk promosikan produk semata-mata tetapi turut terlibat dalam banyak perkara termasuk pemilihan rekaan bungkusan dan konten media sosial.

“Menerusi kerjasama ini, saya juga banyak belajar tentang selok-belok perniagaan.

“Biarpun hanya seorang duta, saya jenis akan beri usaha yang lebih untuk memastikan jenama tersebut diterima dan dikenali umum,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran produk terbaharu jenama Captain Dolphin yang berlangsung di Sepang baru-baru ini.

SEBAGAI duta produk, Erra memastikan komitmennya dapat memberi impak besar buat sesuatu besar.

Dalam masa sama, bintang filem Soal Hati itu masih menekankan prinsip untuk tidak melakukan sebarang konten yang boleh merosakkan dan bertentangan dengan imejnya sebagai wanita Muslim.

“Kandungan media sosial adalah antara syarat yang penting yang saya ambil berat sebelum menjalinkan kerjasama dengan mana-mana produk.

Jika keterlaluan dan tidak sesuai dengan gaya atau imej, saya akan tolak. Saya tidak mahu disuruh buat sesuatu yang bukan diri sendiri sebab bukan cara saya.

“Bimbang nanti peminat terkejut dan tak boleh terima selepas melihat sesuatu yang berbeza dengan diri saya,” ujarnya.

Ujar pelantun lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu, dia juga tidak keberatan untuk memberi input untuk sebarang kerja promosi bahkan Erra yang mula bekerjasama dengan Captain Dolphin sejak 2022 turut memberi sumbangan idea dalam penghasilan perisa baharu syarikat berkenaan.

“Sebenarnya bayaran hanyalah sebagai ‘pintu’ untuk kerjasama. Kalau semuanya okey, saya tiada masalah untuk kerja lebih daripada yang diminta,” jelasnya.

Kahwin, tajaan

Tidak lengkap sekiranya tiada topik peribadi dibicarakan apabila bersua muka dengan Primadona Filem Melayu seorang ini.

Masakan tidak, namanya kembali kerap menjadi bualan ramai selepas mengakui berkawan rapat dengan usahawan, Ezwan Zain, namun ada yang khuatir sekiranya dirinya dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Tegas Erra, pada usia ini, tiada istilah saling memperguna sebaliknya hubungan yang dijalin disifatkan sangat matang.

Masing-masing sudah sangat dewasa dan matang serta bukan nak mencari tempat persinggahan.

“Saya pernah cakap pada Ezwan, kalau nak main roller coaster, saja mencuba, pergi kepada orang lain, bukan saya,” katanya.

Dilayangkan pertanyaan, sama ada sudahkah mempunyai perancangan mendirikan rumah tangga seperti didakwa ramai berlangsung pada tahun ini, Erra hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir, dia enggan terburu-buru.

Setakat ini juga, banyak pihak melahirkan hasrat untuk menaja majlis perkahwinannya namun Erra bertegas, hari bahagianya hanya akan berlangsung dalam keadaan serba sederhana.

Berkali-kali juga Erra berpesan kepada Ezwan agar tidak tertekan dengan impian orang ramai yang mahu melihat mereka bersanding di majlis gilang-gemilang. – HIBGLAM