Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 39, berkata, jadual membabitkan beberapa projek filem serta drama yang memerlukannya memberikan fokus penuh terhadap kerjaya seni.
“Kadang-kadang kita bersembang, kita rancang, kita gembira, kita kongsi dan kalau tak jadi nak buat macam mana. Kita pun kadang-kadang jumpa orang mengarut yang Allah bagi.
Saya rasa ketika itu saya tengah gembira selain pernah duduk sana pun beberapa kali. Paling lama tinggal sampai tiga bulan.
“Rasanya itu hajat semua orang (tinggal di Mekah),” katanya selepas tayangan filem Malam Terlarang, semalam.
Enggan memikirkan lagi hasrat itu, Zul yang menjadi tunjang utama filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Productions hanya berserah terhadap ketentuan takdir.
“Saya enggan tinggal karier saya di sini sekarang. Kadang-kadang sebagai artis ada benda yang kita rancang seperti perniagaan dan sebagainya tapi bisnes bukan keluar berniaga sahaja boleh terus jadi kaya.
Kalau menjadi alhamdulillah tapi tak semua berjaya, lagi pula saya bukan daripada keluarga peniaga. Dalam karier dan keadaan sekarang, kalau saya lepas (kerjaya) semata-mata ambil risiko bekerjasama dengan orang kita sendiri tak tahu betul atau tidak agak mustahil.
“Sekarang ini tahulah di luar itu ada macam-macam orang mengarut. Agak buang masa dan karier saya sekarang pun okey, satu demi satu tawaran datang. Buat apa saya bazir dan berikan komitmen pada benda tak pasti,” ujarnya.
Aktor yang mula berlakon sejak 2008 itu juga mengakui lebih berhati-hati membuat keputusan terutama yang membabitkan kerjaya serta masa depannya.
“Ini adalah padang saya dan saya gembira di sini. Dari umur saya 21 tahun saya berlakon. Untuk saya lepaskan fokus di sini atau mahu ke sana, perkara tersebut memerlukan sesuatu yang menyakinkan.
Sekarang saya hanya padam saja niat itu dan tolak tepi sebab saya tak nak bekerjasama dengan orang mengarut. Itu saja. Kita ada fasa jumpa orang bagus dan ada juga bertemu yang mengarut. Saya anggap benda itu adalah fasa jumpa orang mengarut. Itu sahaja,” katanya.
Sebelum ini anak jati Perak itu memaklumkan bakal berhijrah ke Mekah bagi menguruskan perniagaan mesin layan diri yang dijalankan secara usaha sama dengan sebuah syarikat di Singapura.
Sementara itu, mengenai wataknya dalam filem seram arahan Labu atau Nurhanisham Muhammad, dia teruja membawakan karakter bapa kepada dua anak perempuan yang dibelenggu kejadian mistik.
Pertama kali bergandingan dengan pelakon senior Sofea Jane, katanya naskhah terbabit sarat emosi sekali gus memberi pengalaman berbeza kepadanya.
Malam Terlarang yang turut membariskan Sabri Yunus, Shasha Abedul, Ailah Azizul, Normah Damanhuri dan Hasnul Rahmat akan ditayangkan di pawagam mulai 30 Oktober. – HIBGLAM
