‘Eloklah Sabronzo, Ryan Kahwin daripada ‘couple’ lama-lama’

Dedah Sufi atau nama lengkapnya Muhammad Sufi Rashid, 34, dia tahu Sabronzo menjalin hubungan cinta dengan Ryan sejak 2023.

“Saya pernah bertemu mereka pada 2023. Saya mengenali Bryan, dia lelaki yang baik. Walaupun dia seorang DJ, dia sangat pendiam.

“Apabila pihak Universal Malaysia beritahu saya mereka akan berkahwin, saya tumpang gembira.

“Pada saya lebih baik mereka berkahwin daripada ‘couple’ lama-lama,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Live In Concert, semalam.

Tambah juara Akademi Fantasia 2015 itu lagi, sebagai sahabat dia bersimpati dengan Sabronzo yang dihujani kecaman apabila foto perkahwinan penyanyi itu di Bali, Indonesia tersebar.

“Saya sudah jangka mesti netizen akan kecam dia. Saya kasihan dengan dia. Dikecam dan difitnah sebelum dia umumkan perkahwinan.

“Kalau kita fitnah orang kita kena minta maaf. Lebih baik kita doakan yang baik-baik. Dia tak buat salah pun, dia cuma berkahwin,” jelasnya.

Ditanya adakah perkahwinan Sabronzo akan menjelaskan penjualan tiket konsert Dolla yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember nanti, tegas Sufi perkara itu tidak akan berlaku.

“Insya-Allah saya tak rasa perkahwinan Sabronzo akan menjejaskan jualan tiket. Dolla merupakan artis yang hebat dan punya peminat tersendiri. Kita juga sudah rancang sesuatu yang besar untuk konsert itu nanti,” kongsinya.

Hujung minggu lalu tular dalam media sosial foto perkahwinan Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rosli, 30, dan Bryan di Bali. Namun hanya pada Isnin lalu penyanyi itu mengesahkan perkahwinannya menerusi hantaran dalam Instagram. – HIBGLAM