Ironinya, sorotan terhadap persembahan penuh bertenaga dan penuh nostalgia kumpulan legenda itu bertukar menjadi gelombang kecaman gara-gara pakaian Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar, 47, didakwa ‘over’.
Dikecam teruk, Linda berlapang dada dan memohon maaf kepada netizen yang sakit mata melihat pakaian dan aksinya ketika konsert.
Permohonan maaf telah disuarakan, namun kecaman masih tidak bernoktah sehingga mengaibkan dirinya sebagai wanita berhijab dan menyentuh sensitiviti keluarga.
Saya mengaku kesalahan dan terima komen yang membina untuk saya menjadi manusia lebih baik. Namun, komen-komen yang mengaibkan seperti jijik melihat saya, menuduh suami saya dayus dan anak-anak bodoh itu bukan kritikan tetapi penghinaan.
“Sejujurnya saya okey sahaja kalau netizen mahu kecam saya seorang, tetapi apabila melibatkan keluarga memang tidak boleh terima. Saya tidak tahu apa salah saya sampai mereka (netizen) marah sangat dengan saya,” tutur Linda membuka bicara ketika ditemu bual HibGlam di kediamannya baru-baru ini.
LINDA berkongsi dugaan dilaluinya selepas membuat kemunculan semula bersama kumpulan Elite dengan wartawan HibGlam.
Tambah Linda, komen berlebihan netizen menyebabkan bukan sahaja dirinya tetapi keluarga turut mengalami tekanan emosi.
Saya memang degil, saya baca semua komen. Anggota Elite lain baca komen masih boleh gelak-gelak tetapi saya ambil serius semua komen. Kesannya besar sampai saya kena serangan anxiety. Adik-beradik pun sama, ada yang sampai tidak boleh tidur dan sesak nafas selepas baca komen menghina.
“Paling lucu, Diana dan Zamarul rajin ‘skodeng’ profil netizen yang menulis komen negatif. Kebanyakannya berimej baik-baik tetapi apabila menulis komen bahasa mereka tidak selari dengan imej.
“Disebabkan itu, keluarga bertegas minta saya ambil tindakan undang-undang. Keluarga juga paksa saya buat laporan polis dan melantik peguam. Cuma saya terlalu sibuk, mungkin akan ambil tindakan dalam masa terdekat,” kata pengusaha produk penjagaan kesihatan LRstressoil itu yang sebahagian hasil jualan turut disalurkan ke rumah anak yatim dan pusat tahfiz.
Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, kini Linda lebih berhati-hati dalam pemakaiannya terutama ketika melakukan persembahan pentas dan berada di tempat umum.
Sebenarnya ketika pelancaran konsert pun saya telah dikecam dan pasukan penata gaya sudah maklum, mereka lebih berhati-hati.
“Cuma mungkin saya selalu hadiri kelas usrah, jadi orang ramai tidak dapat terima jika pemakaian saya bukan jubah,” luah Linda.
linda tidak menolak kemungkinan menyaman individu yang menghina dirinya dan keluarga dalam media sosial.
Biarpun diserang menerusi pelbagai sudut, Linda menegaskan bahawa dia sama sekali tidak menyesal untuk buat kemunculan semula bersama Elite kerana kenangan berlatih selama tiga bulan dan menghiburkan peminat di pentas konsert sangat mahal harganya.
Konsert Elite Live ’25 adalah peluang terbaik dalam kerjaya seninya yang tidak akan berulang semula.
“Ini kemahuan kami semua dan sepakat buat konsert untuk peminat, bukannya kami hendak kembali aktif sepenuh masa.
Jika tanpa konsert ini rasanya kami tidak akan bersatu semula kerana semua sudah berusia hampir 50 tahun dan mempunyai komitmen masing-masing.
“Elite tidak akan ada lagu baru kerana kami tidak mahu projek nyanyian ini menjadi beban dan tekanan, cukuplah latihan tiga bulan (ketawa). Kami hanya mahu menikmati apa yang ada dengan tenang,” kongsi isteri pelakon Syed Aiman itu lagi.
LINDA mengakui rezekinya semakin murah selepas menjayakan konsert Elite Live ‘25.
Menariknya, di sebalik badai kecaman ada sinar rezeki yang tidak disangka-sangka. Nama Linda Rafar kembali popular dan video nyanyiannya menjadi tular dalam aplikasi TikTok serta laman sosial lain.
Tidak menafikan perkara tersebut, Linda bersyukur rezekinya kini semakin mencurah-curah, bahkan perhatian khalayak kepadanya juga cukup luar biasa.
“Selepas konsert, tawaran kerja tak berhenti. Ada yang panggil Elite jadi duta, ada juga tawaran secara peribadi untuk saya.
Kalau sebelum ini buat siaran langsung (live) di TikTok pun tidak ramai yang tonton, sekarang jika saya live terus beribu yang menonton. Itu hikmah yang saya nampak,” katanya dalam nada syukur.
Bagi Linda, setiap kecaman ada pengajaran tersendiri. Walaupun kehidupannya tidak lagi setenteram dahulu, dia tetap memilih untuk melihat sisi positif.
“Jika diikutkan, ada okey dan ada tak okey. Tapi dari sudut rezeki dan penjenamaan diri, orang semakin kenal. Saya cuma berharap selepas ini masyarakat lebih matang dan berhenti menjatuhkan maruah orang lain di media sosial,” katanya menutup bicara. – HIBGLAM
