Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, dia gembira kerana akhirnya dapat lari daripada lagu-lagu galau.
“Sebelum ini saya asyik menyanyi lagu-lagu sedih sahaja. Teringin juga nak menyanyikan lagu-lagu yang ‘sweet’ dan romantis.
“Bila Daniesh minta saya dengar lagu ini, saya jatuh cinta dengan lirik dan melodinya. Sentuhan komposer Azlan Abu Hassan dan penulis lirik Omar K mempunyai magisnya yang tersendiri,” katanya.
Makna mendalam – Bella Astillah
Tambah ibu kepada dua orang anak itu lagi, Akhirnya Kamu mempunyai makna yang sangat mendalam dalam kehidupannya.
“Lagu ini memberi impak besar dalam hidup saya kerana seolah-olah sebahagian diri saya dizahirkan melalui lagu ini. Akhirnya Kamu sebuah lagu manis saya sendiri, sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sering minta saya bawakan lagu yang membahagiakan.
“Lagu ini membawa tema kesabaran dalam kehidupan. Hidup tidak selamanya sedih. Sama ada sesuatu itu datang cepat atau lambat, sebab itu kesabaran itu penting.
“Kebahagiaan akan bermula apabila kita percaya setiap ujian adalah cara untuk jadikan kita lebih kuat dan membuka ruang kepada orang yang betul untuk hadir dalam hidup kita,” kongsinya.
Bercerita tentang kolaborasinya bersama Daniesh, ramai peminat yang minta agar mereka menghasilkan lagu duet bersama.
“Dahulu kami sering menyanyikan lagu ‘cover’ bersama. Dari situ peminat mula minta kami menghasilkan lagu duet sendiri,” jelasnya.
Hadiah untuk Bella
Sementara itu bagi Daniesh pula, lagu Akhirnya Kamu merupakan hadiah daripadanya untuk Bella.

Lagu Akhirnya Kamu duet bersama Daniesh Suffian disifatkan Bella memberi impak besar seolah-olah dia dilahirkan semula.
“Lagu ini ditulis sewaktu Bella sedang lalui episod duka dalam hidupnya. Lagu ini adalah untuk memberi semangat, sokongan, dan sedikit keceriaan buat Bella agar terus kuat menghadapi segala cabaran yang datang.
“Seperti yang Bella katakan, ramai peminat mahu kami berdua mempunyai lagu duet sendiri. Sebelum ini kami selalu menyanyi lagu duet orang lain antaranya lagu Afgan.
“Jadi dengan adanya lagu Akhirnya Kamu ini selepas ini bolehlah kami menyanyi lagu sendiri,” ujarnya.
Vokal Bella juga kedengaran lebih baik dalam lagu ini. Kata Bella, Daniesh sangat menitikberatkan soal mutu vokal di dalam lagu ini.
“Daniesh akan minta saya buat banyak kali sampailah dia dapat apa yang dia inginkan. Saya faham dan turuti sahaja kerana tahu dia memang seorang yang ‘perfectionist’,” ujarnya.
Menariknya lagu ini turut hadir dengan video muzik (MV) yang dilakonkan Bella dan Daniesh sendiri.
Istimewanya video kali ini apabila teman rapat Bella iaitu Syed Saddiq turut membuat penampilan khas.
Menurut Bella, Syed Saddiq turut memainkan peranan dalam lagu Akhirnya Kamu kerana dia yang memilih tajuk lagu tersebut.
“Kita ada beberapa tajuk. Kemudian saya beritahu YB (panggilan Bella untuk Syed Saddiq) dan dia pilih tajuk Akhirnya Kamu. Jadi kami sebulat suara membuat keputusan untuk menggunakan tajuk Akhirnya Kamu,” kongsinya.
Akhirnya Kamu kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital, dan muzik videonya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.