Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, mereka mendengar segala keluh kesah peminat yang mengadu tentang harga tiket terutamanya peminat-peminatnya yang tinggal di Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Sewaktu kami melakukan sesi ‘live’ dalam Tik Tok bersama Hafiz ramai peminat mengadu tentang harga tiket. Kata mereka kos untuk membeli tiket konsert, tiket penerbangan dan hotel agak tinggi.
Selepas itu tiba-tiba ada pihak yang ingin menjadi penaja bersama konsert ini iaitu Solustra, Bienz KL dan …, Hafiz pula bertanya jika kami boleh turunkan sedikit harga tiket agar lebih ramai peminatnya mampu beli.
“Bila dihitung semula jumlah kos selepas mendapat tajaan, kami sebulat suara membuat keputusan untuk menurunkan harga tiket. Kami juga telah memulangkan semula duit kepada 1,400 pembeli tiket awal,” katanya ketika ditemui di sidang media khas pengumuman harga tiket baharu, semalam.
Sementara itu bagi Hafiz pula, dia tersentuh dengan luahan seorang peminat yang merupakan pengawal keselamatan yang mengadu teringin menonton konsertnya tetapi tidak berkemampuan.
“Abang tu bekerja sebagai pengawal keselamatan di apartment tempat saya tinggal. Dia beritahu teringin sangat nak menonton konsert saya tetapi gajinya belum masuk.
Sebagai seorang yang pernah menjadi peminat, saya faham perasaan mereka. Tidak semua orang berkemampuan untuk membeli tiket menonton konsert.
“Jadi saya beritahu Sufi boleh tak kalau kita kurangkan sedikit harga tiket agar semua lapisan masyarakat dapat menonton konsert ini. Alhamdulillah Sufi terbuka menerima cadangan saya dan kita pun dapat tajaan daripada beberapa pihak,” jelasnya.
Tambah juara Akademi Fantasia musim Ketujuh itu lagi, disebabkan pihak penganjur memulangkan semula wang pembeli terawal, ada yang beranggapan konsert ini bakal dibatalkan.
“Peminat mula meluahkan kerisauan seandainya konsert ini dibatalkan. Malah ada juga yang beranggapan konsert ini bakal dibatalkan kerana saya seorang penyanyi yang bermasalah. Tetapi hari ini (semalam) kita telah menjelaskan perkara sebenar dan berkongsi berita gembira tentang penurunan harga tiket,” ujarnya.
Pada sidang media tersebut turut diumumkan dua penyanyi undangan yang akan berduet dengan Hafiz pada konsert itu nanti iaitu Adira Suhaimi dan Umairah.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket, harga tiket konsert kini berubah untuk setiap kategori iaitu RM588 (harga asal RM788), RM358 (harga asal RM588), RM288 (harga asal RM488), RM188 (harga asal RM288) dan RM148 (harga asal RM188).
Konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip Live In Concert bakal berlangsung pada 1 November depan bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur. – HIBGLAM