Berwajah lembut dengan sorotan mata penuh makna, pelakon berusia 26 tahun itu sudah membina reputasi kukuh sebagai antara pelapis hero berbakat besar di Indonesia.
Menghidupkan watak remaja polos dalam Dear Nathan hingga peranan emosional menerusi Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini, Kevin membuktikan bahawa keaslian dan kejujuran adalah kunci utama untuk membuat penonton percaya pada setiap emosinya di layar.
Tenang menyusun bicara ketika bertandang di Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik nama lengkap Kevin Ichwal Ardilova itu berkongsi perasaannya yang sering berpuas hati dengan setiap hasil kerja dan mahu terus mencabar diri.
Setakat ini saya puas hati. Saya selalu puas dengan semua lakonan saya, semoga kepuasan itu tidak membuatkan saya berhenti untuk buat yang lain.
“Saya tetap mahu berkarya dengan lebih banyak atau mungkin di Malaysia jika ada kesempatan,” katanya.
Meniti kembara seninya, Kevin mengakui ramai bintang hebat di Indonesia menjadi sumber inspirasinya.
KEVIN mengakui ciri-ciri watak Darian pernah ada pada dirinya ketika di awal usia 20-an.
Namun satu nama cukup dekat di hatinya tidak lain tidak bukan, Reza Rahadian yang dianggap bukan sekadar idola tetapi juga mentor.
“Ramai sebenarnya pelakon yang saya jadikan rujukan sebab semuanya bagus-bagus di Indonesia. Tapi mungkin saya lebih meminati Reza Rahadian.
Dia macam abang dan baik orangnya. Saya sangat mengagumi Reza kerana dia sentiasa membantu pelakon muda macam saya.
“Bukan sahaja boleh beri tunjuk ajar di tempat penggambaran tetapi di belakang layar pun dia manusia yang baik,” ujarnya.
Bagi Kevin, dunia hiburan bukanlah gelanggang persaingan sebaliknya setiap peluang yang merupakan rezeki kepada pelaku seni.
“Saya tak pernah melihat situasi industri seni di Indonesia sebagai persaingan.
Saya tak pernah menganggap orang lain sebagai saingan. Saya merasakan sesiapa pun yang mendapat peluang, itu rezeki yang sudah tertulis untuknya,” kata Kevin semasa menghadiri sidang media filem Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih.
Filem komedi pertama
Mengulas filem terbaharu lakonannya, Kevin mengakui sedikit tertekan pada awal penggambaran, namun segalanya dapat diatasi dengan bantuan pasukan produksi.
“Saya terbiasa melakonkan filem genre drama yang mengupas tentang kehidupan serius tetapi kali ini perlu menggalas watak lucu.
Itu yang membuatkan saya stres sepanjang tiga hari penggambaran memikirkan bagaimana mahu lakukannya. Mujur saya dibantu pengarah, penulis skrip dan pelakon lain.
“Kebetulan, pengarah sudah biasa buat filem komedi, jadi dia ajar saya. Sepanjang proses penggambaran saya menemukan jalan sehingga akhirnya terjadi seperti yang ditonton,” jelasnya.
Menerusi filem itu, Kevin yang memegang watak Darian, lelaki muda penuh emosi dan ego mengakui karakter terbabit sangat dekat dengan dirinya ketika usia awal 20-an.
Sebenarnya dia bukan ‘red flag’ tapi dia seorang lelaki muda yang penuh emosi, ego dan impulsif.
“Saya pernah melalui dulu ketika masih berumur 20 ke 21 tahun. Jadi, boleh dikatakan sangat berkait dengan watak ini,” tutupnya.
Filem Dilanjutkan Salah, Disudahi Perih yang diedarkan Horizon Film Entertainment mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 2 Oktober lalu.
Selain Kevin, filem terbitan Soex Entertainment turut dibintangi Tissa Biani, Mikha Tambayong dan Ibrahim Risyad. – HIBGLAM
