Bertahan kak, saya tahu kakak kuat – Adik Zizi Kirana

Nurul yakin kakaknya yang menaiki kapal Huga dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla itu mampu bertahan dan terus kuat menghadapi dugaan getir tersebut.

Kakak, tolong kuatkan diri dan saya tahu awak kuat.

“Saya nak awak kuat, bertahan kak,” katanya dalam hantaran di Threads.

Dalam hantaran sama, Nazielah berkongsi wajah 10 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla termasuk Zizi yang kini berada dalam tahanan rejim Zionis.

Dia  turut mengajak orang ramai meneruskan solidariti dengan memperluas sebaran maklumat mengenai misi tersebut.

Teruskan berdoa dan sebarkan kisah perjuangan Global Sumud Flotilla. Semoga mereka tidak diapa-apakan oleh tentera Israel.

“Ya Allah, kami serahkan segalanya kepada-Mu. Engkau pemilik segala di bumi dan langit,” luahnya

Terdahulu, Zizi antara rakyat Malaysia menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla ke Gaza sebelum ditahan secara tidak sah. Turut bersama ditahan ialah beberapa aktivis lain termasuk Zulfadhli Khiduddin, Rusydi Ramli (Sirius), Musa Nuwayri, Muaz Zainal, Haikal Abdullah, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma).

Terbaharu, dua lagi nama warga Malaysia disahkan terbabit iaitu Norfarahin Romli (Farah Lee) serta Danish Nazram.

Bagaimanapun, setakat jam 8 pagi waktu tempatan, seramai 17 rakyat Malaysia termasuk Heliza Helmi dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Dalam perkembangan sama, SNCC memaklumkan sembilan kapal kini berada dalam status ‘diserang’, manakala 13 kapal lain sudah menghantar isyarat ‘kecemasan’. – HIBGLAM