Kata Rozita atau Che Ta, 52, majlis pertunangan mereka diadakan di ruang acara Lantera Venue, Shah Alam, pada 25 Oktober lalu Selangor yang dihadiri 500 tetamu.
“Rasa macam baru semalam saya melahirkan Ammar selepas menempuhi hidup berumah tangga hingga bergelar ibu tunggal. Boleh kata, dia banyak melihat suka duka saya menjalani kehidupan.
Menjadi anak sulung dan bergelar abang kepada dua adiknya, dia umpama pelindung. Kini, detik untuknya pula memulakan kehidupan sendiri bergelar tunangan dan seterusnya diijabkabulkan.
“Insya-Allah, semoga segala yang dirancang akan dipermudahkan. Kami termasuk keluarga bakal besan pun sepakat untuk tidak membiarkan mereka lama dalam fasa pertunangan,” katanya.
Pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh arahan Osman Ali itu juga mengakui tidak lepas tangan dalam urusan persiapan majlis pertunangan bertemakan pastel tersebut.
Bahkan, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menghormati permintaan keluarga bakal menantunya agar tidak mendedahkan dulu wajah anak gadis mereka.
Dari urusan tempahan pakaian, dulang hantaran hingga ke lokasi majlis juga saya ambil tahu dan lunaskan apa yang perlu. Namun setiap cadangan baik dari Ammar dan keluarga tunangnya diutamakan.
“Macam permintaan keluarga sebelah sana juga dipenuhi termasuk tidak lagi berkongsi wajah tunangnya terlebih dahulu,” ujarnya.
Mengenai perancangan selepas berkahwin sama ada anak menantu menetap di rumah agamnya di Kota Damansara, Che Ta sentiasa terbuka dalam hal itu.
“Masih terlalu awal untuk berkongsi perkara tersebut. Tapi saya dan suami okey sahaja kalau Ammar dan Auni nak tinggal sekali selepas berkahwin.
Kalau mereka okey, saya pun tak keberatan. Bertambah meriahlah. Macam sekarang adik lelaki yang kini bertugas sebagai pemandu peribadi saya pun duduk sekali dengan kami bersama anak dan isterinya.
“Jujur saya terbuka hal ini. Lagipun mereka masih dalam fasa awal pekerjaan tapi jika sebaliknya pun, saya hormati privasi mereka selepas bergelar suami isteri nanti,” katanya.
Pada majlis pertunangan tersebut, bukan hanya Che Ta ditatarias Otong Danish meraih perhatian, bahkan seisi keluarganya juga menjadi fokus khalayak dengan persalinan kuning rekaan Ezuwan Ismail.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu turut berharap Ammar, 29, dan tunangnya dapat menempuhi fasa pertunangan dengan sebaik mungkin.
Terdahulu, semalam di laman sosial tular foto serta gambar yang menunjukkan berlangsungnya majlis pertunangan Ammar biarpun tanpa sebarang pengesahan.
Ammar yang bertugas sebagai pegawai di sebuah bank memilih Auni, 26, yang bekerja di bidang pemasaran di sebuah syarikat di ibu negara.
Majlis pertunangan itu dikendalikan Hunny Madu, manakala Pencetus Ummah, PU Amin pula membacakan doa dan pereka fesyen, Man Kajang pula menyiapkan dulang hantaran. – HIBGLAM
