Diselitkan pelbagai pengisian penting sepanjang tiga hari bermula 28 Oktober, acara anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bermatlamat membuka jalinan kerjasama produksi tempatan dengan syarikat luar negara.
Antaranya adalah pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat produksi tempatan dan rakan strategik dari negara pada majlis makan malam gala juga titik permulaan kepada kerjasama serantau.
Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, inisiatif itu membuktikan kemampuan industri tempatan membina jaringan antarabangsa serta menghasilkan projek berkualiti tinggi walaupun tanpa bantuan dana daripada Finas.
Usaha sama yang akan dimeterai itu nanti adalah hasil pelaburan peribadi syarikat produksi lokal tanpa sebarang suntikan dana.
Sekali gus ini juga menjadi bukti bahawa pasaran ASEAN sangat luas dan berpotensi besar menjana pendapatan signifikan kepada industri kreatif Malaysia.
Kami berharap Finas dapat menubuhkan dana ‘co-production’ untuk penerbitan program televisyen atau drama secara proaktif bagi menyokong usaha sebegini,” katanya pada pengumuman AFTS 2025, baru-baru ini.
Antara MoU yang bakal dimeterai adalah World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd. dan Jamiyah Singapore Productions; Aquila Emas Sdn Bhd dan Shortman Production LLC dari Singapura; Bananakat Films dan Bear In Mind Production dari Thailand; serta Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd dengan Tincom Media Co. Ltd (Vietnam) dan Thongkam Films Co. Ltd (Thailand).
Katanya lagi, majlis pemeteraian MoU pada malam gala AFTS 2025 itu yang bakal dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil diharap menjadi batu loncatan kepada Finas untuk memperkenalkan dana penerbitan bersama khusus bagi sektor televisyen mulai tahun hadapan.
Selama ini dana co-production Finas lebih tertumpu kepada filem, namun potensi pasaran televisyen di rantau ASEAN masih luas dan belum diterokai sepenuhnya. Ini masa tetap untuk dana ini diperkenalkan,” ujarnya.
AFTS 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini dijangka menghimpunkan delegasi industri kreatif dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam, Kemboja, Brunei dan Laos.
Pitching dengan penyiar luar
Kehadiran pemain industri utama tempatan seperti RTM, Media Prima, Astro dan Bernama bersama rakan sealiran termasuk penerbit, penyiar dan pelabur antarabangsa dari rantau ini dijangka membuka ruang perbincangan dan kerjasama baharu yang berpotensi besar.
Selain majlis menandatangani MoU, acara selama tiga hari itu turut merangkumi sesi jalinan rangkaian (networking), forum bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta sesi Business-to-Business (B2B) dan pitching antarabangsa dalam Bahasa Inggeris di hadapan panel pakar serantau.
Sebelum ini penerbit kita hanya membentangkan idea kepada penyiar tempatan seperti Astro, TV3 dan RTM dalam Bahasa Melayu, kini kita bawa wakil penyiar luar datang ke sini untuk memilih karya atau program dibentangkan di hadapan mereka dalam Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau turut menggalakkan penyertaan penerbit muda di bawah MBM untuk mempamerkan idea kreatif dan projek inovatif kepada pembeli, penyiar serta pelabur dari luar negara.
Pada masa sama, penganjuran AFTS 2025 memberi kelebihan kepada pemain industri lokal kerana mereka tidak perlu berbelanja besar untuk ke luar negara membina jaringan antarabangsa.
AFTS 2025 bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan baharu, bahkan meningkatkan imej Malaysia sebagai hab kreatif utama di rantau ini dan seterusnya ke peringkat global.
“Kejayaan penganjuran ini akan menjadi bukti industri kreatif tempatan mampu bersaing dan berkembang di arena malah tidak mustahil andai AFTS dijadikan acara tahunan selepas ini,” katanya. – HIBGLAM
